Lepasi halangan Ireland, Mesir ujian sebenar Malaysia

Lepasi halangan Ireland, Mesir ujian sebenar Malaysia

C. AMEESHENRAJ (kiri) tenang berdepan Oisin Logan sebelum mencatat kemenangan straight set 11-9, 11-4, 11-4 pada aksi Kumpulan A Kejuaraan Skuasy Dunia Berpasukan Lelaki di Tauranga, New Zealand, hari ini. - IHSAN WSF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pasukan skuasy lelaki negara cemas seketika sebelum beroleh kemenangan berharga 2-1 ke atas Ireland dalam perlawanan pembukaan Kumpulan A Kejuaraan Skuasy Dunia Berpasukan Lelaki di Tauranga, New Zealand, hari ini.

Sekalipun menepati ramalan mengatasi Ireland, namun, Muhammad Addeen Idrakie Bahtiar yang diturunkan selaku perseorangan utama tewas mengejut kepada Sam Buckley 9-11, 4-11, 6-11.

Ketinggalan 0-1, Malaysia yang mempertaruhkan Sanjeev Jeeva sebagai perseorangan kedua menggalas tugasnya dengan baik apabila mengalahkan Sean Conroy 11-9, 11-7, 11-3 untuk mengikat Ireland 1-1.

C. Ameeshenraj turun selaku pemain terakhir dan menjadi penentu kepada nasib skuad negara tenang berdepan Oisin Logan apabila dia mencatat kemenangan straight set 11-9, 11-4, 11-4.

Kemenangan penting 2-1 ke atas Ireland, sekurang-kurangnya telah memastikan kedudukan naib juara Kumpulan A berada dalam genggaman skuad kebangsaan sebelum melayan ujian getir menentang juara bertahan, Mesir, esok.

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Major (B) S. Maniam berkata, beliau sama sekali tidak menduga kekalahan menimpa Addeen yang merupakan tonggak skuad negara.

“Addeen jelas tidak berada pada prestasi terbaiknya sewaktu menentang Buckley dan kekalahan dia menyebabkan kita ketinggalan 0-1,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh SRAM di sini, hari ini.

Menurutnya, mujur Sanjeev yang turun ke gelanggang sejurus selepas itu mempamerkan persembahan yang baik untuk dia meraih kemenangan 3-0 bagi mengikat kedudukan 1-1.

Jelas beliau, Ameeshenraj yang perlu meraih mata kemenangan Malaysia beraksi cemerlang untuk memastikan skuad negara mencatat kejayaan 2-1.

Mengulas mengenai pertemuan dengan Mesir, Maniam memberitahu, Addeen tidak akan diturunkan untuk perlawanan, esok dan sebaliknya Hafiz Zhafri akan memikul tanggungjawab sebagai perseorangan ketiga.

“Kita rehatkan Addeen kerana kita mahu semangat dia dipulihkan dan fokus kepada latihan.

“Jadi, esok Hafiz menjadi pertaruhan kita untuk perseorangan ketiga dan menurunkan kesemua pemain muda, inilah peluang untuk kita mengukur sejauh mana jurang yang wujud antara skuad negara dan barisan pemain handalan Mesir,” ujarnya.

Beliau menegaskan, dari situ mungkin ada sesuatu yang dapat dipelajari barisan pemain muda Malaysia apabila berdepan pilihan pertama tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya