PETALING JAYA: Pemain pertahanan, Ahmad Khuzaimi Piee percaya skuad Harimau Malaya mampu melakar kejutan dalam Piala Asia 2023 di Qatar, Januari ini berdasarkan kepada prestasi pasukan yang semakin menunjukkan kemajuan.
Ahmad Khuzaimi berkata, apa yang penting ketika ini ialah semua pemain berusaha memperbaiki segala kesilapan dan tidak akan mengulanginya di atas padang.
“Apa yang saya lihat ialah banyak kemajuan yang diberi para pemain. Saya berharap untuk (Piala) Asia nanti, kami semua akan cuba bagi apa yang kami semua ada untuk perbaiki semula kesilapan yang dilakukan dalam perlawanan-perlawanan sebelum ini
“Kami semua pemain harus perbaiki segala kesilapan dan akan beri sesuatu untuk perlawanan yang akan datang,” katanya dalam sidang media.
Terdahulu, Ahmad Khuzaimi mengakui terkejut apabila namanya tersenarai 26 pemain akhir di dalam skuad kebangsaan yang dikendalikan Kim Pan Gon bagi menghadapi Piala Asia 2023.
Beliau yang baharu sahaja menamatkan saingan Liga Super bersama Selangor FC (SFC), tidak menyangka menerima panggilan berkenaan sebagai persiapan pasukan Harimau Malaya menghadapi tiga aksi awal peringkat Kumpulan E Piala Asia 2023.
Turut dipanggil Pan Gon untuk mengisi barisan pertahanan ialah Sharul Nazeem Zulpakar, Dion Cools, Corbin Ong, Matthew Davies, Syahmi Safari, Dominic Tan, Daniel Ting dan Junior Eldstal.
Ketika ditanya, adakah Khuzaimi merupakan ‘anak emas’ Kim Pan-gon selepas disenaraikan dalam skuad negara, dia berkata enggan mengambil tahu mengenai perkara tersebut.
“Perkara itu kita tidak boleh difikirkan kerana takut boleh membawa satu benda yang tidak baik dan saya perlu positif mengenai perkara tersebut.
“Saya perlu fikir perkara yang lain, selain perkara perkara yang boleh membuat saya terganggu.
“Saya akan cuba bagi yang terbaik kepada jurulatih kerana masih memilih saya untuk mewakili pasukan kebangsaan dan InsyaAllah akan bagi segala termampu untuk pasukan,” katanya.
Harimau Malaya akan memulakan kempen Piala Asia 2023 dalam Kumpulan E dengan menentang Jordan pada awal pagi 16 Januari 2024. – UTUSAN