LONDON: Rafael Nadal yang berehat hampir setahun menunjukkan kemajuan yang baik ketika sesi latihan selepas pulih daripada kecederaan pinggul.
Bagaimanapun, jurulatihnya, Carlos Moya meluahkan kebimbangan mengenai ketahanan fizikal bekas pemain nombor satu dunia itu bagi menghadapi saingan Grand Slam.
Nadal, 37, berdepan kecederaan otot di Melbourne Park pada Januari lalu, menyebabkan dia terpaksa berehat panjang.
Dia akan kembali beraksi di Brisbane bulan ini sebelum bermain di Terbuka Australia pada 14 hingga 28 Januari, di mana dua daripada 22 gelaran Grand Slam dimenanginya adalah di Terbuka Australia.
“Rafa (Nadal) akan bermula di sesi latihan, yang mana dia melakukannya dengan baik sebelum ke pertandingan sebenar. Agak mustahil untuknya merasai situasi yang sama ketika sesi latihan dengan perlawanan sebenar.
“Beraksi dalam lima set terbaik, menang, berehat dan kemudian kembali semula ke gelanggang dua hari selepas itu adalah perkara yang saya bimbangi ketika ini terutamanya untuk saingan Grand Slam.
“Tetapi kami masih mempunyai masa. Namun, jika Terbuka Australia bermula nanti, itulah yang menjadi kebimbangan saya ketika ini,” kata Moya.
Bintang Sepanyol itu yang sudah menjalani pembedahan pada Jun lalu sebelum ini berkata bahawa tahun 2024 mungkin bakal menjadi tahun terakhirnya di saingan Jelajah dan kini giat menjalani latihan sejak beberapa bulan terakhir untuk memastikan dapat menamatkan kariernya dengan gemilang.
Buat kali pertama dalam tempoh 20 tahun, Nadal terkeluar dari ranking 100 teratas dan kini berada di ranking ke-668 selepas mengalami kecederaan. – AGENSI/UTUSAN