PETALING JAYA: Ketua jurulatih skuad hoki remaja negara, Muhammad Amin Rahim enggan terlalu memikirkan kelebihan yang dimiliki New Zealand yang akan dihadapi anak-anak buahnya dalam aksi penentuan kedudukan ke-11/12 dalam kempen Piala Dunia Hoki Remaja 2023, hari ini.
Ini kerana, bekas pemain negara itu ingin memberi tumpuan kepada corak permainan yang akan dipamerkan oleh anak-anak buahnya dalam usaha memburu penamat terbaik selepas dua kali berputih mata ekoran kegagalan menepati sasaran ke suku akhir dan kesembilan keseluruhan.
“Kita pernah bertemu New Zealand di saingan Piala Sultan Johor (Oktober lalu), jadi kita akan melihat semula video rakaman perlawanan membabitkan New Zealand di kejohanan ini.Kita nak tahu apakah mereka mempamerkan corak permainan sama atau berbeza,” kata Amin.
Pada Piala Sultan Johor lalu, skuad negara berada satu kumpulan dengan New Zealand, Young Tigers tewas 2-3 kepada pasukan lawan yang menyaksikan skuad muda negara dua kali bangkit menyamakan kedudukan, kedua-duanya menerusi jaringan kapten, Faris Harizan.
Begitupun, Amin sekali lagi menaruh kepercayaan terhadap kemampuan pemainnya dan berharap mereka mempamerkan aksi yang sama ketika melakar kebangkitan untuk mengikat Belgium 2-2 kelmarin sebelum terpaksa akur tewas 3-5 dalam penentuan penalti shoot-out.
“Kalau mereka lakukan dengan betul sebagaimana prestasi sebelum ini (menentang Belgium), mereka boleh uruskan mana-mana pasukan dengan baik. Kita dapat lihat pemain beraksi cemerlang sebagai satu pasukan baik dari segi sikap, disiplin dan karakter atas padang.
“Kita sudah gagal capai sasaran ke suku akhir, kita gagal menamatkan saingan di kedudukan kesembilan, jadi nombor 11 adalah yang terbaik mampu kita capai ketika ini dan saya mahu pemain memberikan sepenuh jiwa raga mereka dalam perlawanan menentang New Zealand,” katanya.
Dalam pada itu, penyerang skuad hoki remaja negara, Mohammad Harris Iskandar mengakui dia belum dapat mempamerkan aksi terbaiknya sepanjang saingan Piala Dunia Remaja 2023 dan bertekad menebusnya pada perlawanan terakhir menentang New Zealand.
“Saya rasa saya belum tampilkan permainan terbaik saya kerana banyak peluang terhidang gagal disudahkan dengan jaringan gol.
“Jadi untuk perlawanan terakhir saya mahu berikan yang terbaik untuk membantu pasukan mendapatkan lebih banyak gol,” katanya yang kini menjadi penjaring terbanyak skuad negara dengan tiga gol. – UTUSAN