PETALING JAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersedia untuk meneliti dengan lebih lanjut cadangan agar bekas pemain bola sepak kebangsaan dijadikan jurulatih di peringkat sekolah.
Timbalan Menteri KBS, Adam Adli Abdul Halim berkata, cadangan juga akan dibawa ke mesyuarat tertinggi jawatankuasa tertinggi pembangunan sukan yang turut melibatkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
“KBS sedia maklum dengan cadangan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya yang berharap kerajaan dapat mempertimbangkan agar bekas pemain bola sepak kebangsaan dijadikan jurulatih di peringkat sekolah.
“Susulan cadangan itu, KBS bersedia untuk meneliti lebih lanjut ke peringkat tertinggi yang bersesuaian termasuk mesyuarat tertinggi jawatankuasa tertinggi pembangunan sukan melibatkan KPM memandangkan cadangan itu bersifat rentas kementerian,” katanya.
Adam Adli berkata demikian di Dewan Negara hari ini dan terdahulu Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek turut menyambut baik cadangan berkenaan dan akan mengadakan perbincangan dengan pihak KBS.
Sebelum ini, Hisamudin berharap kerajaan dapat mempertimbangkan cadangan agar bekas pemain bola sepak yang bermain lebih 50 kali untuk Malaysia dan mempunyai sijil kejurulatihan menjadi jurulatih di peringkat sekolah.
Mohd. Hisamudin yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkata, cadangan itu merupakan antara perkara yang dibangkitkan oleh bekas-bekas pemain bola sepak kebangsaan dalam pertemuan dengan FAM.
“Cadangan ini telah diutarakan oleh Datuk Santokh Singh dalam pertemuan tersebut. Tujuan utama cadangan ini adalah untuk memastikan pelajar-pelajar di sekolah dapat belajar teknik dan cara yang betul dalam permainan bidang bola sepak.
“Perkara ini berbangkit susulan daripada maklum balas dan rungutan sesetengah ibu bapa, bahawa guru yang mengajar sukan bola sepak adalah tidak tahu teknik asas bermain bola sepak.
“Justeru itu, saya ingin mencadangkan agar kerajaan dapat mempertimbangkan cadangan supaya bekas-bekas pemain bola sepak yang pernah mewakili negara sebanyak 50 kali dan mempunyai sijil kejurulatihan, boleh diberikan elaun RM2000 sebulan untuk mengajar di peringkat sekolah rendah atau menengah,” katanya-UTUSAN