PETALING JAYA: Pemain perseorangan lelaki negara, Justin Hoh kecewa dan terpaksa akur kerana sekali lagi mengalami kecederaan ringan di bahagian tapak kaki ketika menentang wakil dari Indonesia, Alvi Wijaya Chairullah pada aksi separuh akhir Guwahati Masters 2023 di India, semalam.
Jurulatih perseorangan lelaki negara, K Yogendran berkata, Justin akan direhatkan dalam satu atau dua hari selepas pulang ke Malaysia.
“Sebenarnya dia (Justin) sudah merasai kesakitan itu pada suku akhir kejohanan itu dibahagian tapak kaki kanan apabila kakinya terhentak ke lantai.
“Semasa memulakan permainan separuh akhir, dia (Justin) sekali lagi mengadu kesakitan dan tidak berasa selesa untuk bermain tetapi mencubanya pada set pertama.
“Pada set kedua, fisioterapi kami membuat rawatan dan sakit itu tidak berkurang,” katanya.
Terdahulu, pada set pertama Justin tewas 21-12 ditangan wakil dari Indonesia, Alvi Wijaya Chairullah dan set kedua Justin terpaksa menarik diri ekoran kecederaan di bahagian tapak kaki kanan.
Pemain berusia 19 tahun itu sebelum ini direhatkan apabila putus tendon achilles di kaki kirinya dan berhasrat mencari kembali rentak permainannya dalam kejohanan terakhir bagi tahun ini.
Menurut K Yogendran, pihaknya terpaksa membuat keputusan untuk tidak meneruskan lagi permainan agar tidak menyebabkan kecederaan menjadi lebih parah dan takut menjadi punca kepada masalah lain.
“Justin seorang yang fokus dan serius dalam permainan, saya tahu dia memang sangat kecewa. Pada mulanya dia (Justin) masih mencuba untuk menahan kesakitan dan tidak mahu berhenti bermain.
“Saya bagi dia nasihat dan sokongan moral kerana saya melihat air matanya keluar dan riak wajah kecewanya,” katanya.
Tambah Yogendran, kita perlu bangga dia baru baik dari kecederaan sekurang-kurangnya sudah mula menemui rentaknya kembali walaupun belum sepenuhnya.
“Dia masih muda dan ada masa lagi untuk meningkatkan mutu permainannya dan itulah yang paling penting,” katanya.-UTUSAN