Jurang Tang Jie-Ee Wei dengan lima terbaik dunia masih jauh

Jurang Tang Jie-Ee Wei dengan lima terbaik dunia masih jauh

CHEN Tang Jie-Toh Ee Wei
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto merasakan jurang anak buahnya, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei masih terlalu besar jika hendak bersaing dengan lima pasangan terbaik dunia ketika ini.

Pengajaran perit itu diperoleh setelah Tang Jie dan Ee Wei terkandas di peringkat kumpulan Kejohanan Akhir Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di Hangzhou, China yang melabuhkan tirainya semalam.

Atas kertas, Tang Jie-Ee Wei menunjukkan peningkatan yang mendadak sehingga berjaya menghuni tangga kelapan dunia, sekaligus menjadi pasangan beregu campuran nombor satu negara.

Begitupun reputasi itu tidak dapat diterjemahkan dengan baik di Hangzhou apabila mereka tewas kepada pasangan No. 4 Dunia dari China, Feng Yan Zhe-Huang Do Ping dengan keputusan 10-21, 13-21 dalam perlawanan pembukaan.

Mereka bangkit menumpaskan pasangan Jepun, Yuta Watanabe dan Arisa Higashino 12-21, 21-16, 21-16 dalam perlawanan kedua, momentum itu gagal diteruskan apabila tumpas kepada jaguh Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai 21-18, 18-21, 14-21, sekaligus mengakhiri saingan Kumpulan A di tangga tercorot.

“Prestasi mereka lagi kurang, masih belum konsisten. Sering kali mereka tidak beraksi dengan baik misalnya berdepan dengan pasangan China di perlawanan pertama.

“Jurang dengan kelompok lima pemain terbaik begitu ketara sekali, baik dari segi mental dan juga perwatakan mereka dalam gelanggang.

“Walaupun tidak berpuas hati dengan prestasi Tang Jie-Ee Wei, namun mereka sudah berjuang sebaik mungkin sehingga ke perlawanan terakhir. Selepas ini mereka akan rehat dahulu selama beberapa hari sebelum kembali membuat persiapan Terbuka Malaysia,” jelas Nova.

Selain Tang Jie-Ee Wei, nasib sama turut menimpa beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang masih lagi belum berupaya melepasi peringkat kumpulan dalam penampilan keempat mereka di Kejohanan Akhir Jelajah Dunia BWF.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya