Jerman juara remaja dunia buat kali ketujuh

Jerman juara remaja dunia buat kali ketujuh

BARISAN pemain Jerman meraikan kejayaan mereka dinobatkan selaku juara dunia pada Piala Dunia Hoki Remaja Lelaki 2023 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jerman dinobatkan selaku juara dunia buat kali ketujuh selepas membenam Perancis 2-1 dalam perlawanan akhir yang berlangsung sengit pada Piala Dunia Hoki Remaja Lelaki 2023 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, dekat sini, hari ini.

Skuad dari benua Eropah itu muncul sebagai pasukan terbanyak dalam sejarah hoki antarabangsa di peringkat remaja apabila menjulang gelaran dunia pada 1982, 1985, 1989, 1993, 2009, 2013 dan yang terbaharu 2023 di Kuala Lumpur.

Kejayaan itu juga menebus kehampaan Jerman yang muncul naib juara pada edisi dua tahun lalu di Bhubaneswar, India, selepas tumpas di tangan Argentina 2-4.

Dalam aksi final itu, kedua-dua pasukan menyajikan persembahan menarik berkelas dunia, namun, gawang Jerman bocor terlebih dahulu apabila Jules Verrier meletakkan Perancis di depan dengan jaringan 1-0 hasil gol padang pada minit ke-17.

PARA pemain Jerman melancarkan serangan bertali arus ke kubu Perancis dalam perlawanan akhir Piala Dunia Hoki Remaja Lelaki 2023 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, hari ini. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI

Jerman yang dibimbing Rein van Eijk, meledakkan jaringan penyamaan melalui pukulan kencang Jan Cordes pada minit ke-32 juga yang dijelmakan melalui gol padang.
Liam Holdermann menceriakan kem Jerman apabila dia menyumbat gol kemenangan pasukannya pada minit ke-40 untuk mendahului 2-1.

Perancis mengambil risiko dengan menggunakan strategi ‘power of play’ (menggantikan penjaga gol dengan pemain padang) bagi memburu jaringan penyamaan ketika permainan berbaki tiga minit untuk tamat.

Namun, strategi tersebut gagal membuahkan hasil apabila keputusan kekal berpihak kepada Jerman 2-1 sehingga wisel penamat dibunyikan pengadil.

Van Eijk ketika ditemu bual pemberita selepas perlawanan berakhir berkata, ia sukar dipercayai apabila pasukannya berjaya menjulang gelaran dunia yang ketujuh pada edisi kali ini.

“Kami ketinggalan 0-1 dan pada minit-minit terakhir kami terpaksa bertahan apabila Perancis melancar serangan bertali arus ke kubu kami.

“Kami berhak muncul juara dan kejayaan itu dilakukan selepas kami mengubah rentak permainan selepas rehat dengan mempamerkan corak permainan menyerang dan terus menghadirkan tekanan ke atas lawan,” katanya.

Beliau turut memuji Perancis yang menjadi pencabar terkuat kepada skuad bimbingannya lebih-lebih lagi lawan mereka itu turut diperkukuhkan dengan kehadiran pemain berpengalaman yang beraksi pada Piala Dunia, tahun ini bersama skuad senior di India.

Anugerah Pemain Terbaik dan Pemain Sedang Meningkat Naik menjadi milik kapten Perancis, Gaspard Xavier dan untuk Penjaga Gol Terbaik dimenangi oleh penjaga gol Jerman,

Joshua Onyekwue Nnaji, manakala, bintang muda Belgium, Hugo Labouchere muncul sebagai penjaring terbanyak kejohanan.

Sementara itu, Sepanyol melengkapkan aksi mereka di kedudukan ke-3 selepas menundukkan India 3-1 dalam perlawanan penentuan tempat ke-3/4 yang dilangsungkan lebih awal.

PARA pemain Sepanyol meraikan kejayaan mereka menundukkan India 3-1 dalam perlawanan penentuan tempat ke-3/4 pada Piala Dunia Hoki Remaja Lelaki 2023 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, hari ini. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI

India pula mengulangi pencapaian edisi dua tahun lalu apabila sekadar berpuas hati di kedudukan keempat keseluruhan.

Gol-gol kemenangan Sepanyol dijaringkan oleh Nicolas Alvarez (minit ke-25, ke-51) dan Pau Petchame (minit ke-40), manakala jaringan tunggal India diledakkan Sunil Jojo pada minit ke-28. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya