JDT catat rekod dua musim tanpa kalah di liga Super

JDT catat rekod dua musim tanpa kalah di Liga Super

ARIF Aiman Hanapi menjadi antara watak utama dalam musim sempurna JDT tahun ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta’zim (JDT) sekali lagi meletakkan penanda aras baharu dalam saingan Liga Super setelah merangkul gelaran juara Liga Super dua musim berturut-turut tanpa mencatatkan sebarang kekalahan.

JDT yang dinobatkan sebagai juara Liga Super buat kali ke-10 musim berturut-turut mengakhiri kempen musim ini dengan 76 mata menerusi 25 kemenangan dan satu keputusan seri serta menjaringkan 100 gol dan hanya dibolosi tujuh gol.

Dengan penyerahan trofi Liga Super kepada kapten, Farizal Marlias, JDT secara rasminya menggondol kesemua piala yang dipertandingkan dan merekodkan quadruple berganda, kesemua rekod ini tampak mustahil dipecahkan oleh mana-mana pasukan.

Menurut ketua jurulatih JDT, Esteban Solari,  kesemua kejayaan ini tidak mampu direalisasikan tanpa usaha keras semua pemain sejak awal musim secara konsisten sehingga ke penamatnya.

Jelasnya, dia tidak menyangka tahun pertamanya bersama JDT mampu diwarnai dengan pelbagai kejayaan bermula dengan menjulang Piala Sumbangsih, Piala FA, Piala Malaysia dan Liga Super.

“JDT adalah sebuah kelab yang besar dan meletakkan standard yang tinggi setelah memenangi empat piala ini. Kita bukan sahaja mengulangi kejayaan musim lalu malah melakukan dengan lebih baik setelah memberi persembahan yang menakjubkan setiap perlawanan.

“Saya tidak pernah jangka dapat kejayaan seperti ini pada tahun pertama kerana saya ke sini dengan niat mahu membantu kelab ini menjadi lebih baik dari tahun lalu dan 100 peratus yakin kami berjaya melaksanakan tugas itu.

“Siapa sangka kami jaringkan 100 gol dan bolos hanya tujuh dan ianya pencapaian yang hebat dan sukar untuk dilakukan mana-mana pasukan dalam dunia,” katanya. 

Solari juga berpuas hati setelah Harimau Selatan berjaya meledak lapan gol dalam perlawanan terakhir menewaskan Penang FC 8-0 di Stadium Sultan Ibrahim, sekali gus mencatatkan rekod jaringan 100 gol Liga Super.

“Sejujurnya saya mula dapat rasakan kami mampu mencipta 100 jaringan sejak awal permainan lagi setelah pemain melakukan serangan bertali arus ke kubu lawan, dan pemain cepat mendapatkan semula bola dan mendominasi permainan, hari ini hari yang hebat buat Arif Aiman,” jelasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya