PETALING JAYA: Skuad hoki remaja negara sama sekali tidak akan memandang mudah kemampuan Mesir iaitu lawan yang akan ditemui mereka esok dalam penentuan tempat kesembilan hingga ke-16 di Piala Dunia Hoki Remaja 2023.
Jurulatih skuad remaja negara, Mohamad Amin Rahim berkata, beliau yakin dengan kemampuan yang dimiliki pasukannya, namun dalam masa yang sama mengingatkan agar pemain negara berhati-hati agar tidak terperangkap dengan gerakan Mesir
“Saya selalu yakin dengan pemain dan pasukan saya. Sekarang ini, kami kena buat persediaan untuk bertemu Mesir. Mesir bukan lawan yang mudah kerana mereka mempunyai kekuatan dari sudut fizikal.
“Sudah tentu kami mahu menang, kami perlu menjaringkan gol dan memecahkan mental mereka. Apabila dapat memecahkan mental lawan, mereka akan mula hilang permainan, kami boleh kawal permainan.
“Kami akan buat persediaan dan persiapan. Kami akan gunakan tempoh rehat yang ada dengan sebaik mungkin, untuk proses pemulihan dan juga persiapan berjumpa Mesir.
“Perlawanan ini akan menjadi sengit kerana semua yang ada di kejohanan ini adalah pasukan yang baik. Kami hormat mereka tetapi kami kena buat kerja dan saya lebih fokus kepada pasukan sendiri,” kata Amin.
Kelmarin, Malaysia tewas 5-2 di tangan Australia dalam aksi terakhir Kumpulan A di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil sekali gus gagal menempah tempat ke suku akhir yang menjadi sasaran awal pasukan.
Untuk rekod, Mesir yang tewas 10-0 di tangan Jerman pada aksi terakhir Kumpulan B semalam, menutup tirai perlawanan peringkat kumpulan dengan berada di tangga tercorot dan tanpa sebarang kemenangan.
Malaysia pula melabuhkan tirai saingan peringkat kumpulan dengan berada di tangga ketiga di belakang dua slot kelayakan ke suku akhir yang diraih Argentina dan Australia selepas masing-masing mengumpul sembilan dan enam mata berbanding skuad negara, tiga mata. – UTUSAN