PETALING JAYA: Beregu lelaki muda negara, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri merangkul gelaran kedua berturut-turut di pentas antarabangsa selepas menjuarai saingan Masters Guwahati di Assam, India, sebentar tadi.
Kejayaan itu hadir selepas pasangan yang berada di ranking ke-69 dunia itu menundukkan beregu Taiwan, Lin Bing Wei-Su Ching Heng 21-17, 23-21 pada aksi final yang berlangsung di Kompleks Sukan Tertutup Saru Sajai.
Hon Jian-Haikal mendominasi aksi final kedua mereka dalam tempoh dua minggu biarpun menerima tentangan sengit pasangan Taiwan itu pada set kedua sebelum menang dalam masa 39 minit.
Ini adalah kejuaraan kedua berturut-turut buat Hon Jian-Haikal selepas mereka turut menjuarai saingan Antarabangsa India Syed Modi di Lukcnow, pada minggu lalu
Pada aksi final saingan Antarabangsa India Syed Modi, Hon Jian-Haikal melakarkan kejutan apabila menumbangkan pasangan Jepun yang berada di ranking ke-16 dunia iaitu, Akira Koga-Taichi Sato yang juga merupakan pilihan utama kejohanan.-UTUSAN ONLINE