KUALA LUMPUR: Skuad hoki negara tidak mempunyai pilihan selain mesti menewaskan Australia dalam aksi terakhir Kumpulan A untuk mara ke suku akhir Piala Dunia Hoki Remaja 2023 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil hari ini.
Skuad bimbingan Muhammad Amin Rahim itu kini menghuni tangga ketiga Kumpulan A, selepas mencatat satu kemenangan dan satu kekalahan.
Sekalipun berkongsi tiga mata dengan Australia, namun kelebihan perbezaan jaringan berpihak kepada anak-anak buah Jay Stacy itu selepas hanya tewas tipis 0-1 kepada juara bertahan, Argentina dan membelasah Chile 7-1.
Malaysia mengutip tiga mata selepas menewaskan Chile 7-1 tetapi kekalahan 0-4 kepada Argentina, kelmarin memberi kelebihan jaringan gol kepada Australia yang memerlukan seri dengan skuad negara untuk mara ke suku akhir.
Argentina pula hampir pasti muncul juara kumpulan dengan hanya Chile menjadi lawan mereka sebagai pelengkap jadual aksi peringkat Kumpulan A.
Muhammad Amin turut mengakui bahawa anak-anak buahnya berdepan tugas berat bertemu Australia, hari ini kerana mereka tidak lagi boleh mengulangi kesilapan sama sewaktu menentang Argentina.
“Para pemain sudah tidak ada alasan, tak ada jalan pintas, tak kira panas, hujan, salji… tiada keputusan lain melainkan menang, itu sahaja cara untuk layak ke suku akhir.
“Saya bagi tempoh 36 jam kepada pemain buat pemulihan mereka dengan betul, lakukan kerja rumah, jaga pemakanan dan bersedia menentang Australia.
“Kita sudah tidak ada masa untuk betulkan kelemahan, saya harap para pemain fokus pada setiap rutin dan sempurnakan tugas dengan baik, pertahanan kena ampuh, jangan bagi lawan jaring gol mudah,” katanya kepada pemberita dalam sidang media, kelmarin.
Beliau turut mengingatkan para pemain bahawa pertandingan yang mereka sedang harungi kini adalah Piala Dunia dan bukannya kejohanan tahap domestik.
“Proses pemulihan kena lakukan dengan betul, jaga makan, jaga disiplin, pastikan pengambilan air cukup bagi mengelak kekejangan berlaku seperti hari ini (menentang Argentina), saya rasa perkara seperti ini tidak boleh dijadikan alasan, pemain perlu ambil tanggungjawab,” tegasnya.
Bekas tonggak kebangsaan itu juga memberitahu, anak-anak buahnya perlu mempersiapkan diri berdepan Australia yang memiliki kelebihan fizikal berbanding Young Tigers yang mempunyai sosok tubuh lebih kecil.
Menurutnya, Australia bukan sahaja memiliki saiz fizikal yang lebih kuat, tetapi, mereka juga sangat pantas dan kealpaan akan menyebabkan benteng skuad negara dihukum. – UTUSAN