Harimau Malaya bawa skuad paling mantap

Harimau Malaya bawa skuad paling mantap

PEMAIN Harimau Malaya melakukan latihan ringan di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam. - MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon menyifatkan senarai 26 pemain yang menyertai kem latihan ke Piala Asia yang bermula semalam adalah skuad terbaik yang pernah dipanggil olehnya.

Berdasarkan pemain yang menyertai latihan kali ini, Pan Gon seakan sudah memiliki gambaran sebenar skuad yang bakal dibawa ke Qatar nanti dan kehadiran Romel Morales turut memberi nilai tambah kepada jentera serangan negara.

Menurut Pan Gon, skuad kali ini adalah skuad yang seimbang dengan pasukan menampilkan pemain berpengalaman dan pemain muda yang berkualiti dan dalam masa yang sama jurulatih dari Korea Selatan itu itu mahu pemain senior membimbing pemain muda.

“Selepas musim yang panjang, kita berikan mereka (pemain) rehat dan hari ini (semalma) kita mulakan sesi latihan skuad kebangsaan. Ada dua pemain yang tidak dapat sertai hari pertama latihan iaitu Dioon Cools dan Endrick Dos Santos.

“Cools akan sertai pasukan pada 1 atau 2 Januari ikut jadual penerbangannnya, manakala Endrick pula perlu menemani isteri yang dijangka bersalin dan selepas itu, dia akan menyertai pasukan untuk sesi latihan.

“Semua teruja, saya teruja dan pemain juga teruja. Kami sudah lama menunggu untuk kejohanan ini (Piala Asia), jadi persiapan sangat penting untuk kita berdepan pasukan-pasukan yang berada di ranking lebih tinggi.

“Kami hadir ke Qatar dengan impian yang cukup besar, terima kasih juga kepada FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) yang menghantar pasukan awal ke Qatar. Jadi, kami ada cukup masa untuk persiapan dan sesuaikan diri di sana.

“Ini adalah skuad terbaik, saya gembira. Untuk Feroz (Baharudin), kami ada cuba panggil, tetapi rancang untuk mendirikan rumah tangga, jadi tahniah kepadanya,” kata Pan Gon ketika ditemui pada hari pertama sesi latihan di Wisma FAM di Kelana Jaya, semalam.

Ditanya tentang pemilihan pemain, Pan Gon berkata, dia gembira kerana dapat membawa 26 pemain ke kejohanan berkenaan dan dapat membuat pilihan yang lebih baik sekiranya terdapat kecederaan yang melanda pemain.

Mengulas mengenai perancangannya dalam sesi latihan, Pan Gon berkata, pihaknya akan menilai kondisi pemain terlebih dahulu sebelum melakukan perancangan rapi termasuk merancang taktikal yang diinginkan.

“Sudah tentu kondisi pemain sangat penting, kami akan menilai terlebih dahulu dan selepas itu kita akan bermula dengan taktikal dan merancang apa yang diperlukan berdasarkan lawan di Piala Asia nanti,” katanya.

Di Piala Asia nanti, Malaysia yang berada dalam Kumpulan E akan bertemu Jordan di Stadium Al Janoub pada 15 Januari; Bahrain di Stadium Jassim Bin Hamad (20 Januari) dan Korea Selatan di Stadium Al Janoub (25 Januari). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya