LUCKNOW: Beregu lelaki muda negara, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri menjadi wakil tunggal negara mara ke final Kejohanan Badminton Syed Modi di India selepas singkirkan pilihan kedua kejohanan, Ben Lane-Sean Vendy di peringkat separuh akhir sebentar tadi.
Hon Jian-Haikal yang baru sahaja digandingkan tahun ini berada di ranking ke 93 dunia langsung tidak gentar berdepan lawan yang berada di ranking ke 23 dunia apabila mempamerkan aksi bertenaga sepanjang perlawanan untuk melakar kemenangan dengan keputusan 21-12, 21-19 dalam tempoh 39 minit.
Mereka akan menanti pemenang di antara Akira Koga-Taichi Sato dari Jepun yang akan menentang pasangan Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard dalam satu lagi aksi separuh akhir sebentar lagi.
Terdahulu, gandingan Hoo Pang Ron dan Cheng Su Yin dalam acara beregu campuran akur dengan kehebatan pasangan Jepun, Yuki Kaneko-Misaki Matsutomo apabila tewas dengan keputusan 21-7, 5-21, 17-21 dalam tempoh 53 minit.