PETALING JAYA: Pemain baharu pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Jalil Elias bakal menjadi pemain termahal di Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
Menerusi kemas kini laman Transfermarkt, nilai pasaran Elias kini meningkat lebih tinggi berbanding pada pertengahan tahun ini.
Nilai pasaran Elias kini berharga 3 juta Euro (RM15.3 juta) sebaik sahaja diumumkan sebagai pemain baharu skuad Harimau Selatan.
Sebelum ini nilai pemain tengah kelahiran Argentina-Syria itu adalah dianggarkan berjumlah 2.75 juta Euro (RM14.3 Juta).
Pemain berusia 27 tahun itu, meninggalkan kelab Liga Primera Argentina, San Lorenzo untuk menyertai JDT bagi musim 24/25.
Terdahulu, takhta pemain termahal Liga M menjadi milik pertahanan skuad Harimau Selatan, Jordi Amat pada nilai RM4.67 juta.
Perpindahan pemain berusia 27 tahun ini bakal menguatkan lagi pasukan kendalian Tano Solari yang bakal beraksi di pentas Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) musim depan.
Elias yang berketinggian 1.75 meter ini sudah beraksi hampir 50 perlawanan dalam semua kejohanan musim ini dan meledak dua jaringan.
Beliau juga difahamkan bakal beraksi bersama pasukan kebangsaan Syria dan dijadualkan bertemu Malaysia pada 8 Januari 2024 di Qatar. – UTUSAN