JEDDAH, Arab Saudi: Gergasi Liga Perdana Inggeris, Manchester City membuktikan keampuhan mereka sebagai salah sebuah pasukan terunggul ketika ini apabila dinobatkan sebagai juara Piala Dunia Kelab FIFA selepas menumbangkan Fluminense 4-0 dalam aksi final awal pagi tadi.
Aksi yang berlangsung di Stadium Bandaraya Sukan Raja Abdullah, Jeddah itu menyaksikan City tidak perlu menunggu lama untuk mendahului apabila Julian Alvarez hanya memerlukan 40 saat sahaja bagi meledak gol selepas wisel perlawanan dibunyikan.
City yang dipimpin Pep Guardiola terus selesa apabila pemain lawan, Nino membuat kesilapan menjaringkan gol sendiri pada minit ke 27 ketika cuba untuk mengeluarkan bola hasil hantaran silang Phil Foden.
Foden kemudian melakar nama sebagai penjaring di babak kedua untuk gol ketiga City pada minit ke 72, sebelum Alvarez sekali lagi meledak dua minit sebelum perlawanan tamat untuk pasukan Inggeris itu menang dengan keputusan 4-0.
Kejayaan ini menyaksikan City melakar sejarah baru apabila menjadi kelab bola sepak Inggeris yang pertama memenangi lima piala dalam satu musim.
Terdahulu, City telah pun memenangi Liga Perdana Inggeris, Piala FA, Liga Juara-Juara Eropah serta Piala Super Persekutuan Bola Sepak Eropah (UEFA).
“Ini tahun yang amat menakjubkan, kami menutup tahun ini dengan baik, memenangi semua piala yang kami mampu menangi. Kini kami akan cuba untuk mempertahankannya,” jelas Guardiola.
Sementara itu, kelab Mesir, Al-Ahly meraih tempat ketiga kejohanan ini selepas menewaskan pasukan Jepun, Urawa Red Diamonds dengan keputusan 4-2.