PETALING JAYA: Skuad bawah 23 tahun (B-23) gagal meneruskan rentak kemenangan apabila tumpas 1-2 kepada China B-23 dalam aksi persahabatan kedua di Stadium Jinshan, China, sebentar tadi.
Kemenangan China itu membolehkan mereka membalas dendam terhadap anak-anak buah Juan Torres Garrido apabila skuad bimbingan Cheng Yaodong tumpas 1-0 dalam perlawanan pertama pada Sabtu lalu.
Dalam perlawanan kedua itu, kedua-dua pasukan membuat beberapa pertukaran dengan skuad negara memilih penjaga gol Terengganu FC, Rahadiazli Rahalim sebagai penjaga gol utama menggantikan Azim Al Amin Kamaruddin.
Tuan rumah mendahului seawal minit kelima hasil kesilapan Rahadiazli yang gagal membaca bola dengan baik, sekali gus memudahkan Du Yuesheng melakukan tandukan menerjah gawang skuad negara.
Tersentak dengan gol tuan rumah, anak-anak buah Garrido bangkit memburu gol penyamaan dan hasilnya penyerang muda Selangor FC, Aliff Izwan Yuslan menyamakan kedudukan pada minit ke-34.
Malang menimpa Malaysia selepas Aliff Izwan dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-39 dan China mendahului 2-1 apabila Tao Qianglong menyempurnakan sepakan percuma dari dalam kotak penalti di hujung babak pertama.
Bersambung babak kedua, Malaysia yang beraksi kurang seorang pemain berjaya menahan asakan China yang kerap menyerang dan Rahadiazli Rahalim cemerlang menafikan percubaan Qianglong di depan pintu gol negara pada minit ke-72.
Tiada tambahan jaringan menyaksikan keputusan 1-2 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.-UTUSAN