Bola sepak Perlis masih ada masa depan

Bola sepak Perlis masih ada masa depan

SKUAD Singa Utara pernah menikmati zaman kegemilangan dengan menjulang Piala Malaysia dan pelbagai lagi kejuaraan lain menjadi pasukan yang cukup digeruni dalam bola sepak negara satu ketika dahulu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Lewat 1990-an sehingga 2010, Perlis bukanlah nama asing dalam arena bola sepak negara dengan Singa Utara ketika itu cukup disegani lawan selain pernah dianggap giant killer yang memusnahkan pasukan besar di Malaysia.

Dalam era kegemilangan tersebut, Perlis juga merasai nikmat menjuarai Piala Malaysia pada 2004 dan 2006 serta Liga Super 2005 selain menjadi pencabar utama kepada pasukan berstatus bintang di Liga Malaysia (Liga M).

Malah, dari 2004 hingga 2008 khususnya, Perlis sering kali berada di pentas final termasuk berjaya menjulang Piala Malaysia sebanyak dua kali serta membawa pulang Piala Sumbangsih yang juga dimenangi sebanyak dua kali.

Namun, selepas lebih sedekad, nama Perlis terus menyepi dan seolah-olah hilang dalam peta bola sepak negara dengan rakyat Perlis ketika ini hanya menaruh harapan kepada Perlis United FC (PUFC) yang beraksi dalam saingan Liga M3.

Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Zamri Ibrahim berkata, antara masalah utama bola sepak Perlis sukar untuk bangkit selepas lebih sedekad adalah kewangan dan jika pasukan mempunyai kewangan yang kukuh masalah berkenaan dapat diselesaikan.

Katanya, bagi membentuk pasukan yang kuat untuk bersaing dalam liga utama negara memerlukan kewangan yang kukuh khususnya daripada aspek pembayaran gaji, latihan, pengangkutan dan sebagainya.

Beliau percaya, bola sepak Perlis sebenarnya masih mempunyai masa depan dan untuk bersaing dalam Liga Super sekurang-kurangnya memerlukan RM3 sehingga RM5 juta.

“Bola sepak semenangnya tidak memberi profit, namun ia cukup penting bagi imej negeri dan rakyat Perlis khususnya sangat mencintai sukan bola sepak dan terus berharap Singa Utara yang cukup kuat dahulu kembali bangkit.

“Untuk mengembalikan kebangkitan bola sepak Perlis sokongan daripada kerajaan negeri dan pelbagai pihak lain sangat diperlukan. Sebagai contoh, kerajaan negeri Pulau Pinang memperuntukan RM15 juta kepada pasukan bola sepak di negeri tersebut. 

“Perlis mempunyai banyak bakat atau akar umbi yang cukup berkualiti namun sayangnya mereka tidak ada tempat selepas itu. Jika pasukan bola sepak Perlis kembali kuat, bakat-bakat ini tidak lagi disia-siakan. PFA pada masa ini, hanya lebih berperanan dalam pembangunan bola sepak negeri. 

“Masalah utama adalah kewangan, jika ada duit pastinya bola sepak Perlis boleh kembali bangkit dan mengembalikan kegemilangan Singa Utara sebelum ini,” katanya.

Tambah Zamri, pada masa ini, Perlis United FC iaitu salah satu gabungan di dalam PFA yang sedang membawa imej negeri ini dengan beraksi dalam saingan Liga M3.

“Perlis United kini menjadi harapan dan membawa nama negeri ini dan pasukan berkenaan juga jika mempunyai kewangan yang kukuh diyakini mampu memberi saingan seterusnya ke peringkat lebih tinggi,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya