ISKANDAR PUTERI: Walaupun pertemuan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) hanya dianggap sekadar pelengkap jadual, BG Pathum United tetap mahu memberi yang terbaik dan membawa pulang tiga mata pada aksi terakhir Kumpulan I Liga Juara-juara Asia (ACL), petang esok.
Ketua jurulatihnya, Surachai Jaturapattarapong berkata, kejayaan membawa pulang tiga mata itu sekurang-kurangnya dapat mengubati kekecewaan kelab Thailand itu pada kempen ACL musim ini setelah gagal mengutip sebarang mata apabila tewas kesemua perlawanan.
Walau bagaimanapun, dia mengakui hasrat itu bukan semudah kata kerana sedar keupayaan JDT selaku pasukan yang hebat dan dibarisi pemain berkualiti seperti Bergson Da Silva, Heberty Fernandes dan Arif Aiman Hanapi.
“Ketiga-tiga pemain ini kita akan memberi tumpuan penuh setelah mereka mempunyai sentuhan penyudah yang tajam.
“Kita tahu kemampuan Heberty yang pernah beraksi di Liga Perdana Thailand, manakala Bergson adalah penjaring terbanyak pasukan, Arif Aiman kita lihat dia sebagai pemain bintang yang menjana jentera serangan JDT.
“Arif Aiman beraksi dengan sangat baik dalam pertemuan sebelum ini di Thailand, dia berjaya mengkucar-kacirkan benteng pertahanan dan mencetak dua gol. Saya kira tanpa kelibat ketiga-tiga mereka, kekuatan JDT akan menurun 30 atau 40 peratus,” katanya dalam sidang akhbar di Stadium Sultan Ibrahim, hari ini.
Pengendali kelab The Rabbits itu berkata, pasukannya sudah mengadakan persiapan rapi menjelang pertemuan dengan skuad Harimau Selatan dan merencana perancangan ampuh untuk mengutip tiga mata.
Kemenangan 2-1 menentang Ratchaburi FC pada Sabtu lalu memberi suntikan semangat buat pasukan bagi meneruskan rentak kemenangan.
Sementara itu, Kapten BG Pathum, Surach Yooyen berkata, kesemua rakan sepasukan kini bersemangat tinggi dan dahagakan kemenangan pada perlawanan terakhir saingan ACL musim ini.
Katanya, pemain berada pada tahap yang terbaik dan bersedia untuk mencipta kejutan dengan menewaskan JDT di laman mereka sendiri.
“Kempen ACL musim ini agak menghampakan setelah kita gagal mengutip sebarang mata. Justeru, ini adalah peluang terakhir kita untuk mengutip mata dan perlu bermain dengan baik untuk elak terus berputih mata.
“Kita tahu JDT adalah pasukan terhebat di Malaysia setelah mempamerkan dominasi pada musim ini. Jadi, kita perlu bekerja lebih keras bagi membawa misi membawa pulang tiga mata,” katanya-UTUSAN