PETALING JAYA: Keputusan Tan Sri Mohamad Norza Zakaria melepaskan jawatan Presiden dalam Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan dibincangkan oleh ahli majlis tertinggi badan induk sukan itu pada Sabtu ini.
Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh berkata, BAM amat gembira jika presidennya itu sanggup untuk mempertimbangkan perkara ini semula.
“Ini kerana sepatutnya Tan Sri Mohamad Norza merancang memegang jawatan itu sehingga Sukan Olimpik Paris pada Ogos tahun depan tetapi tiba-tiba dipercepatkan.
“Saya fikir dengan ciri-ciri kepimpinan dan pengetahuan yang ada, beliau mampu mentadbir dan mengurus dalam BAM,” katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) di Majlis Sukan Negara (MSN), semalam.
Terdahulu Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berharap Mohamad Norza yang juga Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mempertimbangkan semula keputusan melepaskan jawatan Presiden BAM hujung bulan ini.
Kenyataan mengejutkan itu dimaklumkan Hannah dalam aplikasi X selain memberitahu bahawa program Road to Gold (RTG) direka bagi mengelakkan sekiranya berlaku perubahan kepimpinan dalam Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ataupun MOM dengan mempunyai dua pengerusi bersama.
“Dengan itu, saya berharap pengerusi bersama, Tan Sri Norza akan mempertimbangkan semula keputusannya untuk berundur sebagai presiden BAM pada akhir tahun ini.
“Sukan Olimpik Paris hanya beberapa bulan sahaja lagi dan badminton mempunyai wakil paling ramai dalam RTG. Kita perlu fokus dan mengurangkan gangguan ketika masa persiapan penting ini,” tulis Hannah menerusi hantaran itu.
Sementara itu Kenny berkata, beliau percaya perkara ini akan dibincangkan dengan teliti dalam mesyuarat majlis tertinggi sabtu ini.
Sebelum ini Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dinamakan sebagai calon presiden baharu BAM. – UTUSAN