MELAKA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyarankan lebih banyak pertandingan sukan di peringkat institusi pengajian tinggi (IPT) dilaksanakan bagi mencungkil bakat baharu.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd. Halim berkata, kejohanan itu secara tidak langsung menggalakkan perkembangan sektor industri sukan negara.
Kata beliau, pencapaian dan penglibatan atlet IPT di peringkat antarabangsa amat memberangsangkan.
“Di peringkat Sukan SEA, atlet-atlet IPT mempamerkan prestasi cemerlang dengan menyumbang sebanyak 85 pingat daripada 175 pingat yang diperolehi oleh kontinjen negara.
“Justeru, saya yakin dan percaya bahawa kerjasama erat antara KBS dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) adalah amat penting dalam membantu ekosistem kecemerlangan sukan negara,” katanya dalam ucapan perasmian Kejohanan Sukan Majlis Sukan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) Malaysia (Masiswa) Zon Selatan 2023 di Kampus Universiti Multimedia (MMU) Melaka di sini, hari ini.
Masiswa berlangsung selama tiga hari sehingga 31 Disember 2023 menghimpukan lebih 300 atlet yang akan menyertai tujuh acara bagi merebut 63 pingat ditawarkan.
Dalam pada itu, Pengarah Kampus MMU Melaka, Prof. Dr. Wong Eng Kiong berkata, pembangunan sukan adalah aspek penting dalam membentuk generasi muda pewaris masa depan yang cemerlang negara.
“Di MMU sendiri, kami giat menghantar para atlet ke kejohanan sukan anjuran KPT dan mengecapi pelbagai kejayaan. Saya yakin dengan semangat membara dalam kalangan atlet di dalam dewan ini maka negara kita bakal melahirkan lebih ramai jaguh sukan pada masa depan,” katanya. – UTUSAN