PETALING JAYA: Atlet olahraga kebangsaan, Muhammad Ammar Aiman Nor Azmi bakal menjadi taruhan pingat emas Sukan Paralimpik Paris 2024.
Presiden Persatuan Olahraga Para Negara, Mohammad Zarrawi Ravi Abdullah berkata, atlet olahraga acara 400 meter (m) T20 (masalah pembelajaran), Muhammad Ammar bakal menjadi penyumbang emas ketiga negara dalam acara olahraga.
“Setakat ini yang sudah layak diri ke Paris adalah jaguh lompat jauh, Datuk Abdul Latif Romly dan jaguh lontar peluru, Muhammad Ziyad Zolkefli.
“Kita sedang mengusahakan agar Ammar melayakan diri ke Sukan Paralimpik dengan menghantarnya ke beberapa kejohanan seperti Kejohanan Fazza Dubai Grand Prix pada Februari 2024.
“Seterusnya Ammar juga akan dihantar ke Kejohanan Olahraga Para Dunia 2024 di Kobe, Jepun untuk peluang terakhir bagi melayakkan diri ke Sukan Paralimpik 2024.
“Saya harap Ammar dapat melayakkan diri ke Paris dan dapat memberi pingat emas kepada negara,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) Sukan, semalam.
Ammar sebelum ini merangkul pingat emas bahkan turut mencipta rekod Sukan Para Asia dalam acara 400m T20 dengan menamatkan larian dengan catatan masa 47.60 saat (s).
Atlet berusia 21 tahun itu memecahkan rekod peribadi terbaiknya 48.42s dalam Sukan Para ASEAN 2023 Jun lalu.
Mohammad Zarrawi berkata, pihaknya akan membawa beberapa pelapis ke kejohanan di Dubai pada Februari depan untuk memberi pendedahan awal dan meningkatkan prestasi atlet.
“Kami akan membawa 20 orang untuk pendedahan atlet baharu serta kelayakkan untuk pergi ke Kejohanan Olahraga Para Dunia 2024 di Kobe, katanya.
Tambahnya, pihaknya akan mengekalkan semua atlet podium seramai 24 orang dan ditambah tiga orang pelapis dari Sukma lalu.
“Untuk tahun 2024 kita akan kekalkan program dan memberi keutamaan kepada paralimpik serta mengekalkan semua jurulatih lama,” katanya. – UTUSAN