PETALING JAYA: Perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia kembali buntu mencari kemenangan setelah ditunjukkan jalan keluar seawal pusingan pertama di Kejohanan Badminton Masters Kumamoto 2023 hari ini.
Zii Jia tumbang kepada pemain Denmark, Anders Antonsen dengan keputusan 18-21, 20-22.
Nasib malang pemain Kedah ini hadir sehari selepas dia membuat keputusan untuk menolak untuk menyertai program ‘Road to Gold’ (RTG).
Bagaimanapun rakan senegara, Ng Tze Yong pula terus menyinar apabila menewaskan pemain Taiwan, Wang Tzu Wei dengan keputusan 21-12, 21-11 dan akan bertemu pilihan pertama kejohanan Viktor Axelsen esok di pusingan kedua.
Tze Yong pernah mencipta kejutan dengan menewaskan jaguh Denmark itu ketika Kejohanan Seluruh England pada Mac lalu.
Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang juga pilihan keempat kejohanan unggul mengatasi pemenang pingat emas Sukan Olimpik, Lee Yang-Wang Chi Lin 21-18, 21-14.
Tiga beregu campuran kekal cemerlang apabila melepasi ujian masing masing dengan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tidak berdepan masalah menewaskan Wei Chun Wei-Nicolas Chan dengan keputusan 21-11, 21-10.
Pasangan profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai pula mudah atas Adam Hall-Julie Macpherson dari Scotland 21-11, 21-11, manakala Tan Kian Meng-Lai Pei Jing singkirkan Chen Zhi Ray-Yang Ching Tun dengan keputusan 20-22, 21-13, 21-15.