PETALING JAYA: Atlet memanah negara, Muhammad Zarif Syahir Zolkepeli dan atlet karate, P. Madhuri dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Universiti Putra Malaysia (UPM) 2022.
Kedua-dua atlet kebangsaan itu dipilih menerima pengiktirafan berkenaan dalam Majlis Anugerah Sukan UPM kali ke-37 yang disampaikan oleh Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, hari ini.
Zarif Syahir, 24, dipilih kerana telah mengharumkan Malaysia dengan meraih pingat emas dalam Kejohanan Ranking Asia bagi acara recurve individu dan dua pingat emas dalam Sukan Universiti Dunia 2022 dalam acara recurve individu dan recurve team.
Sementara itu, Madhuri pula meraih anugerah itu menerusi pencapaiannya yang meraih emas dalam Kejohanan MAKAF Kebangsaan dan Sukan Universiti Asean (AUG) 2022 dalam acara kumite.
Dalam majlis itu, Ahmad Farhan turut merakamkan penghargaan kepada 182 atlet yang diraikan atas pencapaian memberangsangkan sepanjang tahun lalu termasuk ketika mempertahankan kejuaraan hatrik dalam Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) yang merangkul 39 emas, 19 perak dan 20 gangsa.
“Atlet UPM merupakan penyumbang kepada kejayaan negara di peringkat kebangsaan dalam tiga kejohanan utama negara pada tahun 2022 iaitu Sukan SEA 2021 pada Mei 2022, Sukan Komanwel 2022 dan Sukan AUG 2022.
“Kejayaan merangkul SUKIPT 2022 juga merupakan kejayaan yang ketiga buat kontinjen UPM dalam lima edisi yang telah dipertandingkan sejak 2012,” katanya.
Dalam perkembangan sama, atlet lempar cakera negara, Sadat Marzuqi Ajisan pula dipilih merangkul anugerah Bintang Harapan Lelaki, manakala seorang lagi atlet karate wanita, Siti Nur Azwani Nor Azli pula dipilih sebagai Bintang Harapan Wanita.
Majlis itu turut menyerahkan insentif kecemerlangan kepada 19 atlet UPM yang terlibat dalam Sukan Komanwel 2022 serta 40 atlet yang telah menyertai AUG 2022.- UTUSAN ONLINE