Young Tigers diperkuat pemain berusia 17 tahun

Young Tigers diperkuat pemain berusia 17 tahun

BARISAN kejurulatihan skuad hoki remaja negara bersama pemain yang tersenarai dalam skuad remaja Malaysia di Piala Dunia Remaja 2023.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Young Tigers mengambil langkah berani apabila menyenaraikan pemain termuda berusia 17 tahun ke dalam senarai 20 pemain akhir yang akan beraksi pada Piala Dunia Hoki Remaja yang bakal membuka tirai kejuaraan pada 5-16 Disember depan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Ketua jurulatih skuad hoki remaja lelaki negara, Muhamad Amin Rahim berkata, pemain tersebut adalah Muhammad Adam Asyraf Mohd Johari yang beraksi di posisi tengah.

“Hoki sekarang bukan tentang usia, kalau dia ada kualiti mengapa tidak kita serapkan pemain berusia 17 tahun ini.

“Ini bagus untuk dia menimba pengalaman beraksi di pentas Piala Dunia, saya lebih melihat kepada potensi pemain dan bukan dari segi faktor umur, kalau dia 15, 16 tahun pun jika dia bagus saya akan serapkan,” katanya pada sidang media di Stadium Nasional Bukit Jalil dekat sini, hari ini.

Menerusi senarai yang diumumkan, 18 daripada mereka merupakan pemain yang beraksi pada Kejohanan Piala Sultan Johor 2023 yang lalu dan sembilan pemain pula bakal melakukan penampilan terakhir pada Piala Dunia Hoki Remaja.

Menurut Amin, kemahiran individu, fizikal pemain dan kecekapan mengendalikan pukulan sudut penalti yang merupakan senjata utama antara kriteria utama pemilihan kali ini.

Jelasnya, kesemua pemain juga bebas daripada sebarang masalah kecederaan dan berharap tiada masalah berbangkit sebelum perlawanan pertama menentang Chile pada 5 Disember.

“Saya harap pemain akan dapat mempersiapkan diri masing-masing dalam tempoh latihan yang singkat ini dan sebelum kejohanan bermula kita ada aksi persahabatan menentang India pada 3 Disember,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai perlawanan pembukaan menentang Chile, Amin memberitahu, kalau boleh dia mahu anak-anak buahnya meraih tiga mata penuh pada pertemuan tersebut bagi mendapatkan moral tambahan sebelum berdepan Argentina dan Australia dalam aksi Kumpulan A.

“Kita sebenarnya mempunyai kelebihan kerana cuaca kita yang panas dan lembap, malah, pasukan juga telah membiasakan diri bermain di bawah lampu limpah dan menentang Australia dalam aksi terakhir akan berlangsung sebelah siang pukul 2 petang,” tambahnya.

Katanya lagi, perkembangan dalam pasukan pada ketika ini sangat positif dan para pemain menunjukkan dedikasi mereka untuk memperbaiki persembahan masing-masing.

Selain persediaan yang berjalan lancar, Amin turut mengingatkan kepada para pemain agar jangan ambil mudah cabaran pasukan lawan kerana negara yang bertanding bukanlah calang-calang pencabar dan sebab itu mereka layak ke Piala Dunia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya