VTF 2023 lebih meriah, sedia bergabung dengan MSSM

VTF 2023 lebih meriah, sedia bergabung dengan MSSM

DATUK Dr Pekan Ramli (tengah) menyampaikan plak hadiah kepada Juara Keseluruhan, Universiti Putra Malaysia yang meraih 46 pingat
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Biarpun tiada rekod kebangsaan dicatat dalam Kejohanan Varsiti Padang dan Trek (VTF) Grand Final 2023, namun peningkatan penglibatan Institut Pengajian Tinggi (IPT) pada tahun ini sedikit sebanyak berhasil memberikan cabaran sengit terutama kepada barisan atlet kebangsaan. 

Kejohanan yang berlangsung di Arena Universiti Malaya (UM) selama tiga hari itu menyaksikan peningkatan atlet sebanyak 15 peratus dalam VTF Grand Final 2023 berbanding tahun lalu, iaitu seramai 367 atlet mengambil bahagian di pusingan akhir.

Penganalisis sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli menegaskan, pertambahan itu turut berlaku dalam penyertaan IPT iaitu 33 universiti dalam VTF Grand Final edisi ini, selain 28 atlet kebangsaan yang mana merupakan sebuah angka progresif jika dibandingkan dengan VTF tahun lalu. 

Universiti Putra Malaysia (UPM) menduduki ranking No.1 dengan pungutan 28 emas, 10 perak dan lapan gangsa, diikuti Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) di tempat kedua dengan lima emas, tujuh perak dan lima gangsa.

Perbezaan ketara sebanyak 23 emas antara kedua-dua IPT itu dijangka akan membakar semangat semua IPT terlibat untuk menambah saingan dalam VTF tahun hadapan di mana mereka juga mungkin menyasarkan mahu melahirkan lebih ramai atlet yang mampu mewakili Malaysia di pentas antarabangsa. 

“Dalam VTF kali ini, kita berjaya catat 32 rekod kejohanan baharu, yang memberi gambaran bahawa adanya peningkatan prestasi dalam atlet IPT. 

“Cuma pada VTF kali ini, tiada rekod kebangsaan berjaya dicipta dan saya terima semua sebab yang diberikan atlet negara iaitu mereka tidak berada di waktu kemuncak pada masa sekarang kerana sedang off-season terutama yang beraksi dalam Sukan Asia Hangzhou, bulan lalu.

“Apa pun kita sedar, sememangnya sukar untuk mereka kembali melakar keputusan cemerlang kerana sedang berada di penghujung tahun, mereka dijangka berehat sebelum memulakan musim baharu pada tahun hadapan.

“Dalam VTF kali ini, kita juga telah mengumumkan senarai lebih kurang 66 atlet untuk dipersiapkan menghadapi Sukan Universiti Asia (AUG) 2024 di Surabaya, Indonesia,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Dalam perkembangan sama, Pekan berkata Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam perancangan menjalin kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi mempertandingan acara olahraga bawah 17 tahun Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) dalam VTF yang akan datang. 

“Kita juga bercadang untuk memperkukuhkan lagi VTF dan akan berbincang dengan KPM agar acara olahraga MSSM khususnya bagi acara bawah 17 tahun diadakan bersekali dengan VTF. 

“Ini satu idea yang praktikal untuk sukan olahraga agar dapat berkembang dengan pesat dan menyediakan pentas saingan lebih kompetitif dan hala tuju yang selaras dengan hasrat kerajaan untuk memperkasakan sukan olahraga,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya