KUALA NERUS: Tiada istilah pasukan pilihan pada separuh akhir kedua Piala Malaysia menemukan Terengganu FC (TFC) dan Kuala Lumpur (KL) City di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam ini.
Pengendali TFC, Tomislav Steinbruckner, berkata, kelebihan satu gol dibawa hasil kemenangan 2-1 dalam aksi pertama di Cheras, 21 Oktober lalu, belum mencukupi buat Sang Penyu.
Tambah jurulatih berusia 57 tahun itu juga tampak bersedia menghadapi kemungkinan perlawanan berlanjutan ke masa tambahan atau penentuan penalti bagi menentukan pemenang.
Jelas Steinbruckner, TFC perlu fokus sepanjang 90 minit permainan dan tidak melakukan kesilapan mudah sekiranya mahu mara ke pentas akhir bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) atau Perak.
“Mungkin ini adalah perlawanan terbesar kami bagi musim ini namun jaringan KL City dalam masa kecederaan bulan lalu menghidupkan peluang mereka dan saingan masih terbuka.
“Kami harus berhati-hati dengan kelibat Paulo Josue, Romel Morales serta Tchetche terutama dalam situasi bola mati dan hanya sedikit kelekaan akan menyebabkan TFC berputih mata.
“Empat pertemuan musim ini menyaksikan tiga keputusan seri dan satu kemenangan memihak kami, jadi saya harap pemain beri persembahan terbaik untuk bergelar finalis,” katanya ditemui di sini, semalam.
Bagaimanapun perancangan skuad Sang Penyu terjejas setelah terpaksa melupakan perancang tengah, Nurillo Tukhtasinov, yang digantung perlawanan gara-gara kutipan kad kuning.
Menurut Steinbruckner, situasi itu jelas merisaukannya selain masalah kecergasan beberapa tonggak lain termasuk bek tengah, Shahrul Nizam Roshasni dan Sardor Kulmatov.
Katanya, Liridon Krasniqi dan Omid Naziri merupakan calon terbaik mengisi tempat Tukhtasinov bagi membantu ketua pasukan, Habib Haroon di bahagian tengah TFC, malam ini.
“Liridon dan Omid bermain baik ketika seri dengan Sri Pahang tempoh hari, tetapi masih ada beberapa sesi latihan sebelum saya menentukan siapa yang akan membarisi kesebelasan utama.
“Sudah tentu kehilangan Tukhtasinov sangat dirasai lebih-lebih lagi untuk perlawanan sebesar ini namun saya harap segala perancangan berjalan lancar untuk mara ke final,” katanya.