PETALING JAYA: Pemain pertahanan negara, Muhammad Syahmi Safari kini dalam mod bersedia bagi memastikan namanya tersenarai dalam kesebelasan utama Harimau Malaya untuk menghadapi perlawanan Kumpulan D pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, Khamis ini.
Aksi Malaysia menentang Kyrgyzstan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) itu akan dimanfaatkan sepenuhnya pemain berusia 25 tahun berkenaan jika dia diberi kepercayaan ketua jurulatih, Kim Pan Gon untuk menjadi salah seorang tonggak utama skuad.
Syahmi yang juga pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) turut menegaskan bahawa dia sentiasa memberikan komitmen terbaik bagi membantu pasukan meraih kejayaan, setiap kali berpeluang menyarung jersi kebangsaan.
Dia sebelum ini sering menjadi pilihan utama jurulatih Harimau Malaya untuk bermain di posisi pertahanan, namun kini kerap menjadi pilihan kedua sejak Pan Gon mengambil alih.
“Rasanya setiap pemain pun akan bagi 100 peratus terutama sekali lagi bagi meningkatkan prestasi individu dan secara tidak langsung akan meningkatkan prestasi pasukan juga.
“Kami perlu bersedia kerana pusingan kelayakan ini sangat penting terutama dari segi (menaikkan) ranking dan layak automatik ke Piala Asia,” katanya selepas sesi latihan skuad kebangsaan di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), petang tadi.
Selepas perlawanan pada Khamis ini, Malaysia akan berkunjung ke Taiwan untuk perlawanan kedua Kumpulan D pada 21 November.
Bagi perlawanan seterusnya, Malaysia dijadual bertemu Oman pada 21 Mac (di Oman) dan 26 Mac di laman sendiri, sementara 6 Jun di Kyrgyzstan dan perlawanan akhir pada 11 Jun bertemu Taiwan di laman sendiri.