PETALING JAYA: Pemain Thailand, Suttinon Panyo tampil dengan aksi konsisten sekaligus memenangi Kejuaraan Jelajah Toyota 2023 dengan kelebihan tiga pukulan mengatasi Khalin Joshi dari India dalam pusingan akhir yang berlangsung di Saujana Golf & Country Club, petang tadi.
Pemain berusia 20 tahun itu menghasilkan 70 pukulan bersih pada perlawanan hari terakhir, selain rekod 67-69-67 pada tiga hari lalu.
Kemenangan itu melonjakkan kedudukannya ke 26 anak tangga dalam Order of Merit dan sebagai usaha untuk mengukuhkan ranking tersebut, Suttinon turut mengumumkan akan bertanding dalam Kejohanan Jemputan Aramco Saudi, akhir bulan ini.
10 pemenang teratas dalam Order of Merit ADT akan memperoleh kad jelajah Asia.
“Saya sangat gembira dengan kualiti permainan yang saya lakukan hari ini. Saya hanya buat semuanya dengan mudah dan menyasarkan pin apabila berada dalam kedudukan yang baik.
“Padang ini berada dalam keadaan yang sangat baik dan membolehkan kami melakukan pukulan yang lancar dan membuat birdie.
“Saya berterima kasih kepada keluarga atas sokongan mereka dan saya berharap dapat memperbaiki keseluruhan permainan dalam beberapa tahun akan datang,” katanya.
Suttinon membawa pulang wang kemenangan bernilai RM61,250 serta bonus RM30,000 bagi persembahan luar biasanya yang menghasilkan hole-in-one.
Sementara itu, pemain Malaysia, Galven Green yang mencatat dua atas par 74 menyaksikannya berada di kedudukan keempat dengan lapan bawah par 280 bersama Newport Laparojkit dari Thailand dan rakan senegara, Paul San.
Witchayanon Chothirunrungrueng menamatkan saingan di tempat ketiga, tiga pukulan di belakang Joshi dengan 279.