Subahan tidak puas hati dengan skuad remaja di SOJC 2023

Subahan tidak puas hati dengan skuad remaja di SOJC 2023

JERMAN muncul juara dalam perlawanan akhir edisi ke 11 dengan mengalahkan Australia dalam penentuan penalti 3 - 1 pada kejohanan Hoki Piala Sultan Johor di Stadium Hoki Johor Bahru disini. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal masih belum berpuas hati dengan persembahan The Young Tigers yang sekadar menamatkan saingan Kejohanan Hoki Antarabangsa Piala Sultan Johor (SOJC) di kedudukan ketujuh daripada lapan pasukan yang bertanding.

Penilaian itu dibuat setelah pasukan remaja kebangsaan tewas dalam empat perlawanan menentang New Zealand, India, Pakistan dan Great Britain dan hanya meraih kemenangan ke atas Afrika Selatan.

Menurut Subahan, banyak perkara yang perlu diperbaiki dalam tempoh empat minggu sahaja sebelum Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja 2023 yang berlangsung pada 5 Disember di Kuala Lumpur.

“Nak kata saya puas hati memang tipulah kerana banyak benda yang jurulatih kena perbaiki, ada beberapa kesilapan yang lazim pemain buat dan ini tidak sepatutnya berlaku. Perkara ini perlu diberikan tumpuan dan ditambah baik.

“Sebagai contoh, kita mempunyai banyak ‘circle penetration’ dan pukulan sudut penalti tapi tak berjaya disudahkan, malah kita juga terlalu banyak menghadiahkan pukulan sudut penalti kepada lawan. Jika berlaku dua atau tiga kali ia masih boleh diterima, tapi ia berterusan berlaku.

“Pemain kena faham, bila sampai ke Hoki Piala Dunia Remaja, mereka tidak boleh membuat kesilapan mudah ini terus berlaku. Dari segi kecergasan, saya berharap barisan kejurulatihan dapat membantu meningkatkan stamina pemain di atas padang untuk menyaingi pasukan gergasi dunia nanti,” katanya kepada pemberita usai SOJC 2023 melabuhkan tirai malam tadi.

Subahan berkata, walaupun Young Tigers gagal menepati ramalan untuk menamatkan saingan SOJC 2023 dalam kedudukan empat terbaik, namun terdapat peningkatan terhadap mutu permainan pasukan sekali gus merapatkan jurang dengan pasukan lawan ketika berdepan pasukan gergasi dunia.

Katanya, pasukan jurulatih yang terdiri daripada bekas pemain dan jurulatih kebangsaan pastinya mempunyai ramuan terbaik bagi menggilap bakat muda ini dalam tempoh yang singkat sebelum kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja bermula.

Tambahnya, pihakanya turut akan mendapatkan khidmat tenaga pakar daripada luar negara seperti Chris Ciriello, Glenn Turner dan Martijn Drijver bagi membantu pasukan untuk membuat persiapan rapi.

“Kepada Ciriello ditagih bagi membantu pasukan remaja pertajamkan pukulan sudut penalti, Turner pula mampu turun ilmu mencipta penyudah terbaik manakala Drijver akan membantu penjaga gol lebih cemerlang menjaga gawang.

“Kita sudah tidak mempunyai banyak masa dan pemain perlu belajar dengan cepat di bawah pimpinan tenaga pakar dari luar negara ini, saya harap mereka akan memberi tonik kepada pasukan dan kita perlukan bantuan sebanyak mungkin,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya