PETALING JAYA: Laluan sukar menanti skuad hoki kebangsaan bagi merebut tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Ia berikutan, Malaysia diundi dalam kumpulan bersama juara Olimpik dua kali Great Britain, Pakistan yang menamatkan kempen Trofi Juara-Juara Asia 2023 di tempat kelima serta China bagi peringkat kumpulan kelayakan ke Sukan Olimpik Paris di Oman.
Hoki Kelayakan Olimpik Paris 2024 tersebut bakal berlangsung di Muscat, Oman bermula 15 hingga 21 Januari tahun hadapan.
Satu lagi pertandingan akan diadakan di Valencia, Sepanyol dengan hanya tiga pasukan dalam setiap pertandingan bakal meraih slot ke sukan temasya terbesar dunia tersebut.
Kumpulan B pula diisi oleh Jerman, New Zealand, Kanada dan Chile.
Dua pasukan terbaik setiap kumpulan bakal mara ke separuh akhir sebelum berentap merebut tiga slot ke Paris.
Skuad Speedy Tigers sebelum ini terlepas peluang mendapatkan laluan automatik ke Paris di Sukan Asia Hangzhou 2022 selepas sekadar menamatkan saingan di tempat keenam.
Acara sukan Hoki di Sukan Olimpik Paris bakal dilangsungkan di Stadium Yves-du-Manoir pada 27 Julai hingga 9 Ogos 2024.