Skuad hoki belasah Australia 8-2

Hoki dalam dewan: Malaysia belasah Australia 8-2

PEMAIN Malaysia mengawal bola ketika berdepan Australia dalam Kejohanan Hoki Dalam Dewan Antarabangsa Piala Sultan Nazrin Shah di Stadium Indera Mulia, Ipoh hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad hoki dalam dewan lelaki negara bermula garang dalam Kejohanan Hoki Dalam Dewan Antarabangsa Piala Sultan Nazrin Shah selepas melakar kejutan membelasah Australia 8-2 pada perlawanan pembukaan hari ini.

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Indera Mulia, Ipoh itu, Malaysia yang dibimbing Mohd. Hanip Che Halim berada dihadapan pada minit ke-9 menerusi gol padang Danial Asyraf Abdul Ghani sebelum Leong Jett menyamakan kedudukan seminit kemudian.

Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan kembali meletakkan skuad negara di depan selepas berjaya menyempurnakan pukulan sudut penalti minit ke-13 namun Australia sekali lagi menyamakan kedudukan menerusi gol padang Hall Ross.

Malaysia menggandakan asakan dan hasilnya Muhammad Firdaus Omar menyumbang gol ketiga skuad negara untuk kedudukan semasa Malaysia mendahului 3-2 selepas berakhir separuh masa pertama.

Pada suku ketiga dan keempat Malaysia berjaya meledak lima gol menerusi Faridzul Afiq Mohd (m-22), Muhammad Izham Azhar (m-23 dan 24), Mohd Shafiq Yaacob (m-32) dan Muhamad Izham Azhar minit ke-35.

“Alhamdulillah pemain sudah dapat menyesuaikan diri pada suku pertama. Apabila masuk ke suku kedua, ketiga dan keempat kita mula mencari jaringan. Secara keseluruhan, selepas kita mengubah taktikal kepada permainan lebih mudah, kita dapat menjaringkan lebih banyak gol,” kata Mohd. Hanip.

Selepas ini, skuad negara akan beraksi dalam perlawanan kedua pada pukul 5.30 petang ni menentang Namibia pada saingan yang berlangsung secara liga sepusingan itu.-UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN