PETALING JAYA: Pemain skuasy wanita utama Malaysia, S. Sivasangari terus mengekalkan prestasi konsisten apabila berjaya mara ke pusingan ketiga pada Terbuka Hong Kong di Pusat Skuasy Hong Kong dekat Hong Kong, hari ini.
Sivasangari yang beraksi pada kejohanan bertaraf Platinum yang menarik ramai bintang dunia itu melakar kemenangan ke atas wakil Mesir, Hana Ramadan 11-6, 11-6, 11-9 dalam masa 24 minit pada pusingan kedua.
Anak kelahiran Sungai Petani, Kedah itu yang mendapat suntikan moral selepas ranking dunianya melonjak ke tangga No. 17 dunia bakal berdepan pilihan ke-9/16, Hollie Naughton dari Kanada pada pusingan ketiga.
Kejayaan Sivasangari yang merangkul gelaran pada Terbuka Kelab Bola Sepak Hong Kong, minggu lalu, telah membantu lonjakan rankingnya itu.
Pemain berusia 24 tahun itu yang ditimpa kemalangan jalan raya pada tahun lalu sehingga memaksanya berehat panjang telah menyebabkan rankingnya menjunam jatuh daripada tempat ke-16 merudum ke tangga 40 dunia.
“Selepas terpaksa mengharungi perjalanan panjang yang cukup beremosi, saya kini kembali ke dalam kelompok 20 terbaik dunia,” kata Sivasangari yang dipetik kenyataannya menerusi platform media sosial.
Turut mengiringi Sivasangari ke pusingan ketiga ialah rakan senegara, Aifa Azman yang menundukkan Nadine Shahin juga dari Mesir 11-6, 11-3, 11-9 dalam masa 20 minit.
Rakan senegara Nadine yang juga pilihan kelapan, Rowan Elaraby menanti Aifa pada pusingan ketiga.
Baik Sivasangari mahupun Aifa, mereka berdua hanya akan beraksi pada pusingan ketiga pada Khamis.
Sementara itu, nasib berbeza menimpa tiga lagi wakil Malaysia iaitu adik kepada Aifa, Aira, Rachel Arnold dan pencabar tunggal negara dalam saingan lelaki, Ng Eain Yow yang terkandas di pusingan kedua.
Naib juara remaja dunia, Aira, 19, menimba pengalaman yang cukup berguna apabila dia berjaya memberikan tentangan kepada bintang No. 1 dunia, Nour ElSherbini sebelum kecundang 10-12, 7-11, 4-11, manakala, Rachel terpaksa akur kepada kehebatan pilihan ketiga, Amanda Sobhy dari Amerika Syarikat 3-11, 2-11, 0-11.
Eain Yow pula tewas kepada pilihan keenam, Mazen Hesham dari Mesir 4-11, 12-14, 8-11 dalam masa 39 minit. – UTUSAN