KUALA LUMPUR: Sebanyak 24 buah pasukan termasuk empat kelab dari luar negara menyertai Kejohanan Sepak Takraw Piala Tun Ali 2023 pada 13-19 November ini di Dewan Bola Keranjang MBMB, Bukit Serindit, Melaka.
Kejohanan yang memasuki edisi kedua itu menarik penyertaan daripada 14 ahli gabungan, lima ahli bersekutu dan empat kelab jemputan luar negara iaitu dari Indonesia, Thailand, Singapura dan Filipina.
Bagi pasukan negeri, antara yang telahpun mengesahkan penyertaan ialah Perak, Kuala Lumpur, Melaka selaku tuan rumah, Pulau Pinang, Selangor, Johor, Negeri Sembilan, Terengganu, Kelantan dan banyak lagi.
Selain pasukan negeri yang merupakan ahli gabungan, lima skuad ahli bersekutu terdiri daripada ATM, KPT-Masum, PDRM, KPM dan Penjara turut menjadi pencabar bagi merebut gelaran dalam dua acara yang dipertandingkan iaitu antara regu dan regu-double.
Johor merupakan juara bertahan setelah menewaskan Melaka dalam perlawanan akhir pada edisi pertama.
Sementara itu, untuk penyertaan luar negara, empat kelab terlibat ialah Pitsanulok TC (Thailand), PSTI-Sumut (Indonesia), Mayang Putra St (Singapura) dan UNISTAI (Filipina).
Pada majlis undian yang diadakan di PWTC, hari ini, 24 pasukan yang bertanding dibahagi kepada lapan kumpulan dan sebanyak tiga pasukan berada dalam setiap kumpulan.
Juara bertahan Johor diundi dalam Kumpulan F, di mana PSTI-Sumut dan Perlis menjadi pencabar mereka dalam acara regu-double, manakala, bagi saingan antara regu, pasukan Harimau Selatan itu perlu berdepan Putrajaya dan Kuala Lumpur bagi aksi Kumpulan A.
Pemenang Liga Sepak Takraw (STL) bagi musim 2023, Perak pula diundi dalam Kumpulan A untuk regu-double bersama KPM dan KPT-Masum, sementara, bagi saingan antara regu pula, mereka diletakkan dalam Kumpulan D yang turut disertai Negeri Sembilan serta Sabah.
Majlis undian tersebut disaksikan oleh Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan. – UTUSAN