PETALING JAYA: Sabah FC mengesahkan tempat ke separuh akhir zon ASEAN Piala AFC apabila muncul juara Kumpulan H selepas menumpaskan kelab Singapura, Hougang United 4-1, sebentar tadi.
Kemenangan itu menyaksikan Sabah mengumpul 12 mata hasil empat kemenangan dan tewas sekali, manakala Hai Phong FC dan PSM Makassar yang berkongsi tujuh mata di tangga kedua dan ketiga.
Dalam aksi di Stadium Jalan Besar itu, skuad Sang Badak berada di hadapan pada minit ke-16 selepas pemain Hougang United, Naoki Kuriyama tertampan bola hantaran Daniel Ting ke gawang sendiri.
Bagaimanapun, perlawanan tertangguh seketika akibat petir dan selepas perlawanan bersambung, Sabah dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-44 apabila Nazrul Nazari mengasari Cifuentes.
Penyerang Harimau Malaya, Darren Lok tenang menyempurnakan sepakan itu, sekali gus menutup babak pertama dengan kelebihan 2-0 buat skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee.
Bersambung babak kedua, Sabah terus mempamerkan penguasaan apabila Ramon Machado meledak gol ketiga pada minit ke-50.
Malam serba tidak menjadi buat Hougang United apabila Anders Aplin tertampan bola hantaran Rizal Ghazali ke gawang sendiri pada minit ke-77 sebelum Gabriel Quak meledak gol saguhati pasukannya pada masa kecederaan.
Sabah akan mengharungi aksi terakhir peringkat kumpulan berdepan PSM Makassar di Stadium Likas, 14 Disember ini manakala Hai Phong menerima kunjungan Hougang United.-UTUSAN ONLINE