PETALING JAYA: Pasukan CrytoDATA RNF mengesahkan prinsipal pasukannya, Datuk Razlan Razali tidak lagi akan bersama mereka pada musim hadapan.
Kenyataan itu dibuat bagi menjawab beberapa spekulasi membabitkan hala tuju pasukan itu yang turut dikatakan mengalami masalah kewangan yang kronik.
Tambah pasukan itu lagu, CryptoDATA RNF merupakan pemegang utama saham pasukan itu, iaitu sebanyak 60 peratus, manakala Razlan masih memiliki 40 peratus pegangan saham, disamping mereka mempunyai kontrak untuk bersaing dalam perlumbaan Motogp sehingga 2026.
Selain itu mereka juga masih mempunyai kontrak dengan Aprilia yang bukan sahaja bertindak sebagai pembekal jentera, namun menaja dua pelumba utama pasukan ini iaitu Miguel Oliveira and Raul Fernandez.
“RNF mengesahkan bahawa pernah menerima tawaran ketika berada di ibu pejabat Dorna di Madrid untuk pengambilalihan tempat di grid untuk musim hadapan, namun tawaran tersebut telah ditolak lebih dua minggu lalu, dan sejak itu belum ada sebarang rundingan baru dilakukan.
“Pasukan CrytoDATA RNF tidak mempunyai sebarang hutang atau perbalahan dengan mana-mana pihak pembekal dan segala aktiviti pasukan telah dibuat berlandaskan pelan perniagaan serta mengikut terma kontrak yang ditetapkan bersama pada pembekal.
“Keputusan membabitkan Razlan Razali untuk tidak terus bersama pengurusan pasukan RNF tidak dibuat semalam, sebaliknya sudah dilakukan sejak lebih sebulan yang lalu, disebabkan tekanan daripada pelbagai pihak pemegang saham di atas keputusan buruk serta membabitkan keputusan kewangan,” jelas CrytoDATA RNF dalam satu kenyataan rasmi.
RNF Racing ditubuhkan Razlan merupakan penjenamaan semula kepada pasukan yang dahulunya dikenali sebagai Yamaha Sepang Motogp, susulan pengunduran penaja utama sebelum ini, Petronas pada penghujung musim 2021.
Pengunduran diri Razlan daripada pasukan itu menyaksikan RNF Racing kini sedang dikaitkan dengan pelabur dari Amerika Syarikat untuk mengambil alih pasukan itu pada musim hadapan.
Razlan kini berada di Sepanyol untuk perlumbaan terakhir bersama pasukannya di Grand Prix (GP) Valencia.