MANCHESTER: Penyerang Manchester United, Marcus Rashford meminta peminat Red Devils berhenti menyebarkan khabar angin yang mempersoalkan masa depannya di Old Traffor
Pemain England itu telah meledak 30 gol musim lalu, namun dia bergelut pada musim ini dan hanya menjaringkan satu gol dalam 14 perlawanan dalam kempen kali ini.
Prestasinya mula dikritik peminat ketika ini, dengan sesetengah penyokong mempersoalkan sama ada pemain berumur 26 tahun itu masih layak atau tidak membarisi kesebelasan utama Erik Ten Hag.
Rashford tidak beraksi dalam kemenangan 1-0 United ke atas Fulham pada Sabtu, dengan Ten Hag memaklumkan bahawa bintang England itu mengalami kecederaan.
Selepas perlawanan itu, saluran laman sosial peminat The United Stand kemudian memuat naik video bertajuk ‘Masa depan Rashford diragui’, sekali gus menimbulkan spekulasi tentang masa depannya di Old Trafford.
“Tolong henti sebar khabar angin berniat buruk,” kata Rashford yang ternyata tidak berpuas hati dengan video berkenaan.
Dalam video yang dimuat naik ke YouTube, United Stand berkata, kecederaan Rashford ketika aksi Fulham dan persembahannya yang di bawah par menimbulkan tanda tanya.
“Berdasarkan kecederaan Rashford ketika aksi Fulham dan persembahannya yang di bawah par, timbul persoalan, adakah dia layak untuk membarisi kesebelasan utama Manchester United secara tetap?,” kata United Stand.
Laman United Stand adalah saluran peminat terbesar kelab itu yang mempunyai 1.77 juta pengikut di YouTube. – AGENSI