Peng Soon-Yee belum puas, Hang Yee-Cheong dahaga kejuaraan

Peng Soon-Yee belum puas, Hang Yee-Cheong dahaga kejuaraan

AKSI pemain badminton profesional negara, Chan Peng Soon dan Cheah Yee See ketika menentang pemain wakil Thailand, Teeraratsakul Pakkapon dan Muenwong Phataimas dalam pusingan akhir acara beregu campuran pada Kejohanan KL Masters 2023 di Stadium Titiwangsa semalam.-UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dua beregu profesional negara telah menunjukkan prestasi memberangsangkan sebagai wakil tuan rumah untuk aksi final Kejohanan Badminton Master Kuala Lumpur 2023 yang berlangsung di Stadium Titiwangsa semalam.

Bagi beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Cheah Yee, kejayaan bergelar juara di kejohanan ini telah menamatkan penantian mereka untuk merangkul gelaran, di mana kali terakhir mereka berjaya melakukannya adalah enam tahun lalu di Terbuka Rusia 2017.

Peng Soon yang kini berusia 35 tahun tanpa berselindung mengakui gembira masih mampu untuk meraih kejuaraan di usia sebegini, tatkala dia sudah pun memberi bayangan untuk menggantung raket sejurus tamat Sukan Olimpik Paris tahun hadapan.

Dalam aksi final semalam, Peng Soon dan Yee See yang turun sebagai pilihan pertama kejohanan menumpaskan lawan dari Thailand, Pakkapon Teeraratsakul-Phataimas Muenwong dengan keputusan 21-9, 17-21, 21-10 untuk membawa pulang trofi dan wang kemenangan berjumlah AS$7,900 (RM 37363).

“Saya rasa amat gembira dapat mengakhiri minggu ini sebagai juara, lebih-lebih lagi beraksi di hadapan penyokong sendiri, walaupun kejohanan ini hanya bertaraf Super 100 tetapi saya dan Yee See tetap berbangga dengan kejayaan ini.

“Memang keadaan badan saya ketika ini tidak seperti orang muda. Kadang kala bila saya bangun pagi, badan saya sakit-sakit tetapi saya tetap paksa diri untuk berlatih, jadi memang saya akan bersara pada tahun hadapan, tetapi ketika ini saya masih akan terus aksi yang terbaik,” kata Peng Soon.

AKSI pemain badminton kebangsaan, Low Hang Yee dan Ng Eng Cheong ketika menentang pemain wakil Taiwan, Chen Cheng Kuan dan Chen Sheng Fa dalam pusingan akhir acara beregu lelaki KL Masters 2023.

Sementara itu, beregu lelaki profesional, Low Hang Yee-Ng Eng Cheong akui terkilan tidak dapat meraih kejuaraan keempat mereka untuk tahun ini selepas akur bergelar naib juara di belakang pasangan Taiwan, Chen Cheng Kuan-Chen Sheng Fa selepas tumbang dengan keputusan 21-23, 17-21.

Begitupun mereka tetap optimis untuk mendaki tangga ke 32 dunia menjelang penghujung tahun ini dengan berbaki tiga lagi kejohanan untuk dihabiskan antaranya Master Korea pada minggu ini, serta dua lagi kejohanan di India pada Disember iaitu Guhawati Master (5-10 Disember) dan Odisha Master (12-17 Disember).

“Saya rasa perjalanan kami masih banyak, ada banyak perkara yang kami perlu lakukan. Kami tidak boleh hanya berpuas hati dengan pencapaian kami yang hanya banyak masuk ke final sahaja, kami perlu memenanginya juga. Yang paling penting, kami perlu terus dahagakan kemenangan,” kata Hang Yee.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya