KUALA LUMPUR: Penyokong membawa semangat pahlawan Melayu ke Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) bagi membangkitkan semangat kepada pemain Harimau Malaya yang akan berjuang menentang Kyrgyzstan malam ini.
Biarpun kehadiran penonton tidak ramai ke SNBJ, namun kelibat seorang bapa bersama anaknya mencuri tumpuan apabila mengenakan busana persalinan tradisional Melayu untuk ‘beraksi’ dan memberikan sokongan kepada Harimau Malaya.
Rimy Azizi, 43, berkata, dia ada alasan tersendiri untuk mengenakan busana tradisional Melayu kerana baginya, ia dapat membangkit semangat untuk dirinya dan pemain Harimau Malaya berjuang di atas padang.
“Busana kepahlawananan Melayu ini diharap dapat beri semangat kepada pemain. Sejak 2009, jika datang beri sokongan kepada Malaysia, saya akan pakai busana tradisonal Melayu.
“Hari nampak tidak ramai di stadium, tetapi itu tidak mematahkan semangat. Saya tetap hadir beri sokongan, mungkin peminat lain ada alasan mereka sendiri untuk tidak datang, mungkin juga sebab hari bekerja dan sebagainya,” katanya yang terkenal dengan gelaran ‘Pendekar Gasing’.
Sehingga pukul 6 petang tadi, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memaklumkan sebanyak 15,385 keping tiket telah terjuan untuk aksi Malaysia menentang Kyrgyzstan malam ini.
Dalam pada itu, penyokong Kyrgyzstan, Ersin Uraiymov, 18, berkata, dia teruja untuk datang buat pertama kali menyokong pasukan kebangsaannya di SNBJ.
“Saya datang bersama rakan-rakan untuk beri sokongan kepada Kyrgyzstan, kami harap pasukan Kyrgyzstan akan menang dalam perlawanan ini dan mengejutkan tuan rumah,” katanya yang merupakan pelajar Asian Pasific University.-UTUSAN ONLINE