PETALING JAYA: Tonggak pertahanan kiri Sabah FC, Daniel Ting yang berada dalam senarai menunggu dipanggil untuk melaporkan diri ke kem latihan pusat skuad kebangsaan.
Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon menjelaskan, Daniel dipanggil bagi menggantikan pertahanan Terengganu FC, Azam Azmi Murad.
Pengendali dari Korea Selatan itu berkata, Azam hadir melapor diri pada Jumaat lalu, namun terpaksa dilepaskan, semalam selepas pemeriksaan doktor mendapati terdapat kebimbangan kecederaan pada lututnya.
“Dengan ketiadaan Azam, posisi pertahanan kanan akan diisi oleh Matthew Davies dan Syahmi Safari yang mana Syahmi sebelum ini dipersiapkan untuk bersama La’Vere Corbin-Ong di posisi pertahanan kiri.
“Semoga Azam cepat sembuh dan seterusnya dapat dipanggil lagi pada kem latihan pusat Harimau Malaya yang akan datang,” kata Pan Gon.
Kem latihan pusat Harimau Malaya yang bermula sejak kelmarin bagi menghadapi dua perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, bulan ini.
Skuad Pan Gon akan membuka tirai saingan Kumpulan D menentang Kyrgyzstan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada Khamis ini sebelum berdepan Taiwan (21 November) di gelanggang lawan.