SEPANG: Pelumba berusia 18 tahun, Fermin Aldeguer muncul pelumba terpantas pada sesi kelayakan Moto2, hari ini dan akan memulakan aksinya di petak pertama pada Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), dekat sini, esok.
Mewakili pasukan Beta Tools SpeedUp, Aldeguer yang berasal dari Murcia, Sepanyol itu mencatat masa sepusingan 2 minit 05.288 saat (s) untuk mengungguli sesi kelayakan yang berlangsung di atas permukaan litar kering.
Sementara itu, pelumba Fanti Racing, Celestino Vietti berada di kedudukan kedua dengan catatan masa 2:05.790s dan di tangga ketiga menjadi milik penunggang, Correos Prepago Yamaha VR46 Team, Manuel Gonzalez yang melakar 2:05.815s.
Aron Canet dari pasukan Pons Wegow Los pula menghuni tempat keempat (2:05.850s), manakala, pelumba OnlyFans American Racing, Marcos Ramirez di kedudukan kelima (2:05.888s).
Pendahulu Kejuaraan Dunia bagi kelas Moto2, Pedro Acosta akan memulakan aksinya, esok, di petak keenam setelah mencatat masa sepusingan 2:05.894s, sementara, pencabar terdekatnya, Tony Arbolino di tangga ketujuh (2:05.912s).
Acosta dari pasukan Red Bull KTM Ajo berpeluang merangkul gelaran dunia, jika dia berjaya melengkapkan perlumbaan, esok dalam kelompok empat terbaik.
Berdasarkan kutipan mata yang dicatatnya, kedudukan Acosta sukar digugat dengan penunggang Itali, Arbolina (Elf Marc VDS Racing Team) keciciran 63 mata setelah mengumpul 237.5 mata. – UTUSAN