PETALING JAYA: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menempelak Pesuruhjaya Sukan Malaysia, Suhardi Alias selepas mengancam untuk membubarkan badan induk itu.
Suhardi mengugut untuk membatalkan MOM selepas membuat pertemuan dengan dua badan e-sukan, Persatuan Tadbir Urus Sukan Elektronik Malaysia (MEGA) dan Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) pada 14 November lalu.
Menerusi klip audio yang berdurasi satu minit 20 saat yang tular di aplikasi Whatsapp memetik Suhardi telah menyamakan MOM dengan Israel kerana tidak berpuas hati dengan isu pendaftaran dan keahilian antarabangsa membabitkan dua pertubuhan e-sukan tersebut.
Justeru Presiden MOM, Tan Sri Norza Zakaria menjelaskan pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya, termasuk mengemukakan bantahan rasmi kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
“Saya telah mengarahkan Setiausaha Agung MOM, Dato’ Nazifuddin Mohd Najib, untuk mengambil tindakan sewajarnya dalam mengemukakan bantahan terhadap tingkah laku sebegini, jika ia benar berlaku.
“MOM percaya kenyataan sedemikian adalah satu tindakan yang tidak wajar daripada Pesuruhjaya Sukan kerana status MOM selaku badan payung persatuan sukan kebangsaan dijamin dalam Akta Pembangunan Sukan 1997.
“Kenyataannya, andai ia benar, melambangkan niat jahat daripada Pesuruhjaya Sukan.
“Walaupun MOM tidak berada dalam perjumpaan berkenaan, ugutan itu dikeluarkan tanpa
sebarang sebab.
“Kami tidak mahu membuat kesimpulan secara terburu-buru tetapi kami menuntut agar
Pesuruhjaya Sukan menjelaskan keadaan disebabkan tindakannya boleh ditafsirkan sebagai melampaui batas,” kata Norza dalam satu kenyataan.