PETALING JAYA: Atlet bina badan negara, Datuk Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah membolot gelaran juara dunia keenam dalam kariernya di Kejohanan Dunia Bina Badan dan Fizik 2023 di Wonju, Korea Selatan semalam.
Ia dianggap penutup 2023 yang sempurna buat Syarul yang turut mesra disapa Mike selepas berjaya meraih gelaran Juara Asia yang keenam di Nepal pada September lalu.
Untuk rekod, Mike mendominasi saingan kejohanan dunia sejak edisi 2016 sehingga 2019 sebelum menambah satu lagi gelaran pada tahun lalu.
“Memang niat saya datang ke Korea Selatan adalah untuk mempertahankan kejuaraan, tetapi banyak cabaran yang saya terpaksa tempuhi ditambah cuaca agak sejuk sehingga saya terpaksa beraksi dalam keadaan selsema.
“Apabila saya melihat pesaing-pesaing saya di pusingan awal, saya risau juga kerana ada di antara mereka yang hebat-hebat, tetapi syukur walaupun saya sudah berumur 50 tahun, saya masih mampu mengatasi mereka.
“Antara faktor kemenangan saya, yang saya rasakan adalah kelibat otot-otot di badan saya yang lebih menyerlah berbanding para pesaing saya. Walaupun fizikal mereka besar, tetapi otot mereka tidak menyerlah seperti saya. Secara keseluruhan saya amat berpuas hati dengan pencapaian saya pada tahun ini,” jelas Mike kepada Utusan Malaysia.