PETALING JAYA: Persatuan ping pong Malaysia (TTAM) mendapat perkhabaran gembira apabila kedua-dua pasukan lelaki dan wanita negara layak untuk beraksi di Kejohanan Ping Ping Dunia Berpasukan yang akan berlangsung di Busan, Korea Selatan pada 16 hingga 25 Februari 2024.
Perkara itu diumumkan oleh Persekutuan Ping Pong Antarabangsa (ITTF) semalam yang menyaksikan Malaysia melengkapkan kuota 11 negara Asia yang bertanding di kejohanan itu berdasarkan ranking dunia dan kedudukan ketika Kejohanan Berpasukan Asia.
Ironinya skuad berpasukan lelaki menamatkan saingan di tempat ke 11 keseluruhan Kejohanan Ping Pong Berpasukan Asia di Pyeongchang, Korea Selatan pada September lalu, manakala skuad wanita akur pula berada di tempat 15 untuk kejohanan yang sama.
Bagaimanapun skuad wanita tetap layak kerana ketika ini menghuni tangga ke 28 dunia.
Pengumuman tersebut ternyata mengejutkan ketua jurulatih ping pong negara, Beh Lee Wei yang langsung tidak menyangka mereka akan layak beraksi di kejohanan itu sekali lagi tahun hadapan.
“Sejujurnya saya langsung tidak menyangka kerana prestasi kami tidak begitu baik ketika Kejohanan Berpasukan Asia. Apabila senarai pasukan ke Kejohanan Berpasukan Dunia diumumkan, saya terkejut dan ini satu perkara yang gembira.
“Justeru saya dan pihak pengurusan sedang merancang untuk membuat latihan pusat yang lebih rapi, mungkin mengadakan latihan di luar negara bagi memastikan kami akan lebih bersedia menghadapi saingan di Busan tahun hadapan,” jelas Lee Wei kepada Utusan Malaysia.
Pada edisi lalu di Chengdu, hanya skuad wanita sahaja layak beraksi di kejohanan tersebut dan berjaya membuat kejutan dengan menewaskan Amerika Syarikat dan Kanada untuk mengakhiri saingan di tangga ketiga dalam Kumpulan 1.
Kali terakhir, kedua-dua pasukan lelaki dan wanita negara layak beraksi di kejohanan tersebut adalah ketika Malaysia menjadi tuan rumah pada edisi 2016.