PETALING JAYA: Skuad hoki wanita negara menamatkan Kejohananan Asia Wanita Trofi Ranchi Jharkhand 2023 dengan kedudukan di tempat kelima selepas menewaskan Thailand 1-0, sebentar tadi.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Jaipal Singh, India itu menyaksikan Malaysia menyumbat gol tunggal seawal minit pertama menerusi pukulan sudut penalti Nurmaizatul Hanim Syafi Shiek Fuad.
Mengulas mengenai prestasi keseluruhan skuad, jurulatihnya, Mohd Nasihin Nubli mengakui banyak ‘kerja rumah’ yang perlu dilakukannya apabila pulang ke Malaysia malah dia juga berpendapat majoriti pemain belum berada di tahap tertinggi untuk beraksi di perlawanan antarabangsa.
“Alhamdulillah kita dapat tempat kelima namun begitu saya rasa kita perlu buat lebih baik lagi sebab kita ada peluang untuk hasilkan gol dan pc (penalty corner).
“Namun begitu kita juga harus fokus pada setiap pemain kerana saya rasa ramai antara mereka yang belum mencapai ‘high level’ lagi. Balik ke Malaysia nanti, kita akan ada banyak perkara yang perlu dilakukan, kejohanan tertinggi seperti ini bukan mudah.
“Gol yang dihasilkan itu pembukaan yang baik, namun kita tidak begitu fokus dalam pukulan sudut penalti yang selebihnya. Kita kurang bertahan dengan baik.
“Untuk kelayakan Olimpik, saya akan cuba fokus pada kemahiran individu, pada tahap kecergasan dan kekuatan mereka,” katanya selepas perlawanan tamat.
Kejohanan yang berlangsung dari 27 Oktober hingga 5 November ini mempertaruhkan enam negara, China, Jepun, Korea, Malaysia, Thailand termasuk India sebagai tuan rumah.
Setakat malam ini, India mendahului carta dengan pungutan mata tertinggi (18 mata) diikuti China dan Jepun masing-masing di tempat kedua dan ketiga dengan berkongsi sembilan mata.
Perlawanan akhir akan berlangsung malam esok, pukul 11 malam waktu tempatan.