MANCHESTER: Pertahanan England, Harry Maguire tidak pernah menyesal dengan keputusannya untuk kekal bersama Manchester United dan menganggap semua pengorbanannya terbalas dengan penyenaraian semula dalam skuad utama Erik Ten Hag.
Sebelum ini, masa depan pertahanan tengah United itu tidak menentu di Old Trafford selepas kehilangan tempat dalam kesebelasan utama ditambah lagi dilucutkan jawatan kapten, tetapi potensi perpindahan ke West Ham atau pasukan lain tidak menjadi kenyataan.
Keyakinan diri Maguire tidak pernah goyah biarpun dia sering dikritik berulang kali, namun penantian dan kesabarannya akhirnya berbaloi apabila mendapat kepercayaan Ten Hag untuk bersama dalam kesebelasan utama membabitkan lapan perlawanan terakhir United.
“Saya bermain beberapa perlawanan tahun lalu, 16 atau 17 dalam kesebelasan utama dan saya rasa saya beraksi dengan sangat baik dalam permainan yang saya mainkan. Saya cuma tidak bermain sebanyak mana yang saya suka.
“Sebaliknya, Rapha (Varane) dan Licha (Lisandro Martinez) bermain dengan cemerlang dan mengekalkan banyak rekod tanpa bolos. Saya terpaksa menunggu masa saya dan bersabar, akhirnya detik itu datang kembali.
“Saya mempunyai dua atau tiga peluang musim lalu tetapi selepas itu saya mengalami kecederaan, saya mengalami kecederaan dua kali, jadi saya sukar mendapat rentak dan tidak boleh membuktikan kepada pengurus,” kata Maguire.
Maguire memanfaatkan tempoh kecederaan sejak enam minggu lalu dan menunjukkan mentaliti yang mengagumkan dan membuktikan dia seorang pemain yang tidak mengenal putus asa biarpun diejek beberapa tahun kebelakangan ini.
Tumpuan Maguire kini beralih kepada skuad kebangsaan England sebelum United bersatu semula selepas menewaskan Luton 1-0 Sabtu lalu.
Ia adalah kemenangan keempat dalam lima perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL), tetapi mereka perlu mempertajamkan bahagian serangan untuk terus mencatatkan kemenangan dan menyelamatkan Ten Hag di posisinya.-AGENSI