PETALING JAYA: Juan Torres Garrido membariskan lima muka baharu dalam senarai 24 pemain yang dipanggil menyertai latihan pusat skuad bawah 23 tahun (B-23) negara bermula 13 hingga 21 November ini.
Lima pemain itu ialah Daryl Sham, Muhammad Firdaus Ramli, Muhammad Aiman Khairul Yusni, Muhammad Firdaus Ahmad Fuad, Adam Farhan Mohd Faizal, Syahmi Adib Haikal Mohd Shukri dan Muhammad Abu Khalil.
Daripada senarai pemain yang dipanggil untuk jalani latihan pusat bermula Isnin hingga 21 November ini, Torres Garrido mengekalkan 17 daripada 23 pemain skuad yang bermain di pusingan kelayakan.
Turut mendapat kepercayaan Garrido ialah penyerang muda yang beraksi bersama kelab liga Iceland, Luqman Hakim Shamsudin.
Senarai yang dikeluarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) juga menyaksikan Luqman menjadi satu-satunya pemain muda yang berpangkalan di luar negara dipanggil untuk latihan pusat kali ini.
Ia selepas Nooa Laine termasuk dalam senarai panggilan ketua jurulatih skuad senior, Kim Pan Gon untuk menguatkan barisan tengah Harimau Malaya.
Kem latihan kali ini adalah yang pertama diketuai Garrido sejak dilantik sebagai ketua jurulatih bagi menggantikan E. Elavarasan dan ia adalah sebahagian daripada persiapan menjelang kempen Piala Asia B-23 2024, April depan.
Dalam pada itu, seramai 16 pemain pula diletakkan dalam senarai bersedia sekiranya terdapat perubahan dalam senarai 24 pemain utama.-UTUSAN ONLINE