PETALING JAYA: Persatuan Badminton Kuala Lumpur (KLBA) melancarkan inisiatif terpuji apabila menghargai jasa dan sumbangan legenda badminton negara, mendiang Datuk Punch Gunalan sempena penganjuran Kejohanan Badminton Master Kuala Lumpur 2023 di Stadium Titiwangsa semalam.
Presiden KLBA, Datuk Seri Dr Jahaberdeen Mohamed Yunoos menjelaskan usaha ini adalah untuk mengenang jasa yang telah dicurahkan mendiang dalam menaikkan nama badminton Malaysia di persada dunia ketika hayatnya.
Selain menyerahkan plak penghargaan kepada balu mendiang, Datin P. Vijeyakumari yang hadir bersama anak lelakinya Dr G. Roshan, KLBA turut bercadang untuk mewujudkan satu anugerah di atas nama legenda negara itu kepada pemain meningkat naik yang bernaung dengan persatuan berkenaan.
Begitupun cadangan tersebut masih dalam perbincangan sebelum ia diumumkan secara rasmi kepada khalayak ramai.
“Mendiang Datuk Punch Gunalan merupakan bekas presiden KLBA, jadi bagi pihak persatuan adalah satu kewajipan untuk kami menghargai dan mengenang jasanya.
“Banyak jasanya baik di KLBA, BAM (Persatuan Badminton Malaysia) mahupun di peringkat BWF (Persekutuan Badminton Dunia) itu sendiri. Jadi ini adalah antara usaha kami untuk terus mengingati jasanya.
“Ada perbincangan ke arah itu (anugerah sempena nama mendiang) dan akan dimaklumkan bila tiba masanya, kami mahu jadikan ia lebih istimewa,” jelas Jahaberdeen.
Bagi pihak keluarga mendiang, mereka menghargai usaha KLBA untuk menganjurkan majlis penghargaan ini.
“Saya amat berterima kasih kepada KLBA kerana mengadakan majlis ini, ia sangat menyentuh hati saya. Begitu banyak memori yang indah bersama saya dan mendiang,” kata Vijeyakumari.
Mendiang merupakan antara individu penting dalam mencorakkan perkembangan badminton Malaysia apabila bukan sahaja menyinar sebagai pemain, namun juga sebagai pentadbir dengan menjadi pengurus skuad emas negara meraih Piala Thomas pada 1992.
Mendiang menghembuskan nafas terakhir pada 15 Ogos 2012 di usia 68 tahun selepas bertarung dengan penyakit barah.