KOTA BHARU : Kelantan United FC tempang berdepan Kuala Lumpur City FC (KL City) selepas tidak dapat menurunkan beberapa tonggak utama yang digantung perlawanan dan masalah kesihatan pada aksi Liga Super di Stadium Kuala Lumpur, Cheras malam ini.
Pemangku ketua jurulatihnya Nazrulerwan Makmor berkata, Sang Kijang Hijau bertekad untuk tidak akan memberi laluan mudah kepada lawan.
“Saya amat berharap pemain yang diturunkan dapat memberi persembahan terbaik pada pertemuan itu nanti dalam usaha mencuri sekurang-kurang satu mata,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas lanjut, Nazrulerwan turut mengingatkan barisan pemain supaya waspada dan berharap pemain dapat mengekang setiap asakan pihak lawan.
Katanya, KL City merupakan sebuah pasukan yang mampu melancarkan serangan balas dengan baik di samping mempunyai barisan pemain import berkualiti dan mampu mengancam kubu Kelantan United.
“Tidak dapat dinafikan KL City merupakan sebuah kelab dan pasukan yang konsisten dalam Liga Malaysia dan tentu sekali kami tidak boleh bermain secara semberono di halaman lawan nanti.
“Kita kena berhati-hati dengan serangan balas tuan rumah tetapi saya yakin pemain-pemain Kelantan United tidak akan membenarkan KL City bermaharajalela di laman mereka,” katanya. – UTUSAN