PETALING JAYA: Kejohanan Skuasy Remaja Antarabangsa Kuala Lumpur REDtone yang akan berlangsung pada 5-10 Disember ini mencatat rekod baharu apabila berjaya menarik 900 penyertaan dari 21 buah negara.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan, semalam, pertandingan tersebut yang kini memasuki edisi ke-15 itu akan diadakan di gelanggang skuasy Jalan Duta, Sky Arena di Setapak, Kuala Lumpur dan gelanggang Skuasy Astaka dekat sini.
Antara negara yang telahpun mengesahkan penyertaan ialah Kanada, Belanda, Kuwait, Thailand, Filipina dan Bangladesh yang melakukan penampilan sulung mereka.
Negara-negara lain adalah Australia, China, Hong Kong, India, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, Pakistan, Arab Saudi, Singapura, Afrika Selatan, Sri Lanka, Taiwan, Amerika Syarikat dan Malaysia selaku tuan rumah.
Negara ini menghantar kontinjen terbesar dengan 643 pemain dari seluruh Malaysia termasuk penyertaan peserta elit dari Sekolah Sukan Bukit Jalil.
Kejohanan remaja bertaraf Platinum dan kedua terbesar di dunia selepas Terbuka Remaja Amerika Syarikat itu seperti biasa akan mempertaruhkan enam kategori lelaki dan perempuan iaitu Bawah 9 Tahun, Bawah 11 Tahun, Bawah 13 Tahun, Bawah 15 Tahun, Bawah 17 Tahun dan Bawah 19 Tahun.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan REDtone Digital Berhad, Lau Bik Soon berkata, dia berbesar hati dapat memberikan sokongan sebagai penaja utama kepada kejohanan itu selama 10 tahun berturut-turut yang menyaksikan begitu ramai bakat muda berjaya dilahirkan.
“Kami berasa teruja dapat menyaksikan kejayaan besar yang diukir bakat tempatan di pentas antarabangsa dan yang terbaharu, pencapaian cemerlang Ng Eain Yow yang merangkul pingat emas pada Sukan Asia di Hangzhou, China baru-baru ini.
“Begitu juga dengan Rachel Arnold yang mengetuai skuad wanita Malaysia menggondol pingat emas pada temasya tersebut, pencapaian cemerlang mereka merupakan contoh terbaik yang dilahirkan menerusi kejohanan seperti ini,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Raket Skuasy Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merangkap Pengerusi Penganjur, Steven Kwan pula melahirkan rasa gembiranya Kejohanan
Skuasy Remaja Antarabangsa Kuala Lumpur berjaya mengekalkan status Platinum buat tahun kelima berturut-turut sejak 2018.
“Kita juga gembira dan mengalu-alukan penyertaan para pemain dari Bangladesh, Kanada, Belanda, Kuwait, Filipina dan Thailand yang bertanding buat kali pertama.
“Pertandingan ini menjadi platform terbaik untuk para pemain mengejar impian mereka beraksi pada kejohanan dunia mahupun pada Sukan Olimpik,” ujarnya.